Penghormatan terakhir rakan bukan Islam kepada jenazah bekas pelajar tahfiz undang sebak

MELAKA - Perbezaan agama tidak menghalang sekumpulan anak muda berbangsa Cina memberi penghormatan terakhir kepada jenazah sahabat baik mereka yang meninggal dunia baru-baru ini.
Video tular di aplikasi Tiktok yang menyentuh hati itu memaparkan rakan-rakan Allahyarham Muhammad Zaidi Razali,22, yang juga merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban 3 diberikan kesempatan menatap jenazah arwah di Masjid Bukit Cina sebelum pengebumian.
Video yang dimuat naik ibu saudara arwah menerusi akaun Ain Rasihd itu, memperlihatkan rakan-rakan arwah yang bukan beragama Islam bersedih malah ada yang menangis ketika diberikan penghormatan terakhir menatap wajah jenazah bekas pelajar tahfiz di sebuah madrasah di Malim dan Panchor, Durian Tunggal.
Lebih mengharukan apabila mereka yang dipercayai aktif bersama dalam sukan badminton turut mengiringi jenazah arwah ke tanah perkuburan Islam Bukit Cina.

Menurut maklumat yang dikongsi pengguna Tiktok arwah yang menunggang motosikal meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Pedas Linggi minggu lalu.
Video yang dikongsikan itu menunjukkan keadaan ruang solat masjid penuh dengan orang ramai ketika solat jenazah sekali gus mengambarkan arwah memiliki akhlak baik selain pernah menjadi imam solat terawih pada Ramadan lalu.
Video tersebut meraih perhatian netizen dengan tontonan seramai 2 juta.
Rata-ratanya meluahkan rasa terharu dengan kehadiran rakan-rakan bukan Islam yang sanggup meluangkan masa hadir ke majlis pengebumian, sebagai tanda kasih dan penghormatan terakhir.
"Yang pergi beragama Islam, yang ziarah rakan agama Buddha, yang tengok dan mengalir air mata agama Hindu. sebagai manusia, hati kita sama waktu seseorang itu berduka..." komen @Queenoegypt.
"Kawan-kawan berbilang kaum dan agama pun datang . Arwah mesti baik orangnya. Semoga Rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh... aamin," tulis @Zulkifli Lim.
"Ibu bapa yang hebat mendidik anak berbuat baik kepada semua kawan-kawan yang berlainan agama. Nak pula habuk masuk mata," kata @ezra hakimi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


