Enam staf UMS hadiri himpunan tabligh jalani kuarantin di rumah

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Enam kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari, selepas menghadiri program perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lepas.

UMS dalam kenyataan di sini hari ini, memaklumkan enam individu berkenaan telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS, serta klinik dan hospital kerajaan.

"Bagaimanapun kesemua mereka tidak menunjukkan sebarang gejala yang boleh dikaitkan dengan Covid-19 dan pemantauan akan dijalankan bagi memastikan tahap kesihatan mereka adalah baik, sebelum dibenarkan kembali bertugas," menurut kenyataan itu.

UMS turut menggesa kesemua warganya untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri masing-masing pada setiap masa, serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelak terdedah kepada risiko penyakit, terutama Covid-19.

Kakitangan dan pelajar UMS yang mempunyai gejala dikaitkan dengan Covid-19, terutama mereka yang baru kembali daripada perjalanan di luar Sabah, atau mengunjungi lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko Covid-19 juga digesa melapor diri di PRW, untuk pemeriksaan kesihatan dengan segera, menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: