Tragedi Iboi tetap segar dalam ingatan

Antara rumah yang terjejas teruk akibat tragedi Iboi pada 2022. Gambar kecil: Nor Mohamad dan Malik
Antara rumah yang terjejas teruk akibat tragedi Iboi pada 2022. Gambar kecil: Nor Mohamad dan Malik
A
A
A

BALING – Meskipun sudah tiga tahun berlalu, namun kenangan pahit tragedi kepala air membadai Kampung Iboi masih segar dalam ingatan penduduk.

Meskipun sudah beransur pulih daripada ‘mimpi ngeri’, namun igauannya tetap sukar dipadamkan terutama apabila kehilangan insan tersayang dan kemusnahan harta benda dalam sekelip mata.

Antara paling terkesan ialah penduduk, Abdul Rahman Said, 74, apabila isteri, anak tiri dan menantu yang sedang hamil ketika itu hanyut bersama rumah mereka.

“Jasad isteri saya yang menghidap strok ditemukan dalam keadaan menyayat hati sedang berpelukan bersama menantu di bawah timbunan kayu.

“Sebak bila ingat balik, boleh dikatakan masa itu kehidupan kami cukup bahagia tapi bila ALLAH ambil semua sekali, rasa macam terputus tali.

“Bila teringat, saya akan baca al-Fatihah. Saya reda sebab yakin mereka pergi dalam keadaan baik. Itu semua takdir ALLAH. Sebagai hamba, saya percaya kepada qada dan qadar yang ditetapkan,” ujarnya sebak.

Keadaan laman rumah penduduk yang masih digenangi air lumpur.
Keadaan laman rumah penduduk yang masih digenangi air lumpur.

Kini Abdul Rahman mengusahakan tanaman serai, tebu dan pisang selepas tanaman asal diusahakannya sebelum ini musnah.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, dia berharap kerja baik pulih dan mendalamkan sungai diteruskan, selain pembangunan semula infrastruktur dilaksanakan demi keselesaan serta keselamatan penduduk.

Dalam tragedi pada 4 Julai 2022 itu, tiga sekeluarga terkorban sementara lebih 1,000 kediaman rosak apabila ditenggelami air dari puncak Gunung Inas yang mengalir deras ke perkampungan penduduk selepas hujan lebat.

Bekas Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Husain, 60, mengakui tragedi itu memberi kesan mendalam kepada penduduk tetapi mereka tetap reda dengan ujian selain hikmah yang muncul selepas itu.

Keadaan Kampung Iboi selepas kejadian tragedi tiga tahun lalu.
Keadaan Kampung Iboi selepas kejadian tragedi tiga tahun lalu.

“ALLAH uji kita tapi dalam ujian ini, kami belajar erti kekuatan, persefahaman dan saling membantu. Ketika itu jambatan runtuh, laluan terputus, bantuan tak dapat masuk tetapi kami saling bergantung antara satu sama lain. Itu yang menguatkan kami,” katanya.

Menurutnya, penduduk berterima kasih kepada kerajaan kerana membina Empangan Sabo bagi mengurangkan risiko tragedi kepala air berulang.

“Beberapa jambatan rosak turut dibina semula, manakala jambatan Bailey dibina sementara sejak tiga tahun lalu selepas jambatan asal dihanyutkan arus, difahamkan akan digantikan dengan struktur lebih kukuh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!