Kes tembak: Sudah tidak amankah Malaysia?

Laporan Sinar Harian mengenai kejadian tembak di Meru dan Butterworth.
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian tembak di Meru dan Butterworth.
A
A
A

KALAU diikutkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2024, Malaysia menduduki tempat ke-10 daripada 163 negara dalam senarai yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP).

Ini menunjukkan bahawa Malaysia antara negara paling aman di dunia dengan skor 1.427 dalam indeks tersebut. Bagi Merak Jalanan, kedudukan itu satu anugerah dan memberi kelebihan buat Malaysia di mata dunia.

Cuma dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini, empat kejadian tembak di Brickfields, Cheras, Meru dan Butterworth - walaupun tidaklah sebanyak mana - tetapi sedikit sebanyak boleh menggugat kedudukan Malaysia untuk tahun ini.

Bak kata rakan Merak Jalanan, kes tembak yang berlaku dalam selang waktu terdekat itu - walaupun tidak berkaitan seperti yang dimaklumkan oleh polis - tetap boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Sudah pasti rakyat akan mempersoalkan apakah sebenarnya yang berlaku ketika ini? Kerap sangat berlaku kes tembakan sehingga ada yang terkorban.

Sehinggakan ada yang berimaginasi Malaysia ini boleh menjadi seperti Mexico. Kebetulan pula ketika ini kecoh dengan kes 20 individu ditembak, beberapa daripadanya dipenggal kepala ditemui di sebuah jambatan lebuh raya di Mexico yang menyaksikan pertempuran antara kartel dadah Sinaloa.

Janganlah berfikiran seperti itu. Tidak mungkinlah polis kita akan membiarkan sahaja jenayah berat seperti itu berleluasa. Polis kita pun sudah memberikan jaminan bahawa pelaku-pelaku dalam empat kes tembak yang berlaku itu akan segera ditumpaskan.

Merak Jalanan sedikit pun tidak pernah sangsi keupayaan polis kita. Buat semua rakyat, kita perlu letak sepenuh kepercayaan kepada pihak polis kerana peranan mereka sudah pastilah untuk menjadi benteng keamanan negara.

Percayalah, sikit masa lagi, suspek yang terlibat dalam empat kes tembak itu akan diberkas.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!