Siasatan dua kes tembak: 38 individu dirakam keterangan

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seramai 19 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes sekumpulan lelaki menembak dua lelaki di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, di sini, pada 17 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya masih mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden itu.
"Setakat ini, tiada sebarang tangkapan. Seramai 19 orang telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada 17 Jun lalu, sekumpulan lelaki yang bertopeng ski hitam dilaporkan menaiki kenderaan jenis Perodua Alza.
Dalam kejadian tersebut, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an telah terkena tembakan pada jam 12.48 tengah malam.
Dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya juga telah merakam keterangan 19 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes tembakan di sebuah restoran di sini, pada 13 Jun lalu.
Ku Mashariman berkata, usaha masih giat dijalankan untuk mengesan suspek.
“Tangkapan lima individu sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil,” katanya.
Pada Khamis lalu, polis tidak menolak kemungkinan dua kes tembakan yang berlaku di ibu negara dalam tempoh empat hari baru-baru ini mempunyai kaitan dengan aktiviti kongsi gelap.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata, siasatan yang dijalankan menunjukkan kedua-dua kes itu membabitkan elemen kongsi gelap.
Dalam kejadian di Brickfields pada 13 Jun lalu, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas ditembak dari jarak dekat oleh salah seorang daripada dua lelaki menaiki motosikal di hadapan sebuah restoran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
