Penangan cinta terlarang nasi himpit dan lemang

DUNIA hari ini memang penuh kejutan. Kalau dulu kita sibuk dengan kisah cinta manusia, sekarang nasi himpit dengan lemang pun boleh jadi bahan drama.
Dua hidangan yang selama ini duduk semeja ketika hari raya, tiba-tiba menjadi watak utama dalam drama cinta yang entah siapa pengarahnya.
Lebih menarik, kisah cinta dua menu ini bukan sekadar mengundang drama malah membuatkan kita tertanya-tanya sejauh mana manusia sanggup melayan imaginasi yang dijana teknologi kecerdasan buatan (AI).
Tak pasal-pasal Merak Jalanan pun terjebak sekali, dari satu episod ke satu episod.
Cinta mereka tidak direstui keluarga si lemang kerana perbezaan 'latar belakang'. Seorang direbus dalam plastik, seorang lagi dibakar dalam buluh.
Apa yang boleh Merak Jalanan katakan, hebat sungguh teknologi hari ini.
Kecanggihan AI kini bukan sahaja membantu memudahkan urusan harian malah turut diberi tugas menguruskan kisah cinta antara dua juadah tradisional.
Dalam dunia yang semakin canggih yang lebih membimbangkan bukanlah kisah cinta pelik ciptaan AI. Tetapi, fenomena ketagihan dunia maya kini merentasi batas usia apabila golongan warga emas turut tidak terkecuali daripada terpengaruh dalam dunia digital.
Tak perlu artis, tak perlu skrip mahal dan lokasi penggambaran. Cukup dengan AI, dua jenis makanan dan sedikit imaginasi, terus boleh menghasilkan drama yang mengalahkan sinetron dan drama pukul 7 malam.
Bukan setakat nasi impit dan lemang, buah-buahan serta kuih-muih pun ada kisah tersendiri. Siapa sangka, makanan yang biasa kita nikmati pun boleh ada konflik sampai kita tertunggu-tunggu kesudahan kisah mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
