Liverpool, Porto berdukacita

DUNIA bola sepak antarabangsa dikejutkan dengan berita pemergian pemain Portugal dan penyerang Liverpool, Diogo Jota, 28, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol.
Turut terkorban dalam insiden tragik itu ialah adik beliau, Andre Silva, yang juga bekas pemain remaja kelab FC Porto.
Dalam satu kenyataan rasmi, Liverpool FC menyatakan rasa sedih dan kehilangan yang amat mendalam.
“Liverpool Football Club amat berdukacita dengan pemergian tragik Diogo Jota.
“Kami dimaklumkan bahawa beliau, bersama adiknya, André, telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol.
“Buat masa ini, kelab tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut dan memohon agar privasi keluarga serta rakan-rakan mangsa dihormati,” kata kelab Merseyside itu pada Khamis.
Sementara itu, FC Porto, turut menyatakan rasa dukacita atas pemergian dua beradik tersebut yang pernah beraksi dalam skuad muda kelab Portugal berkenaan.
“Kami sedang berkabung. Dengan penuh rasa terkejut dan dukacita, kami menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat handai Diogo Jota dan André Silva.
“André pernah menjadi sebahagian daripada keluarga besar kami di peringkat akar umbi,” jelas kenyataan rasmi kelab tersebut yang turut disertakan gambar mereka berdua memakai jersi Porto.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF), Pedro Proença, menyifatkan kehilangan Jota dan André sebagai satu kehilangan besar buat bola sepak negara.
“FPF dan seluruh komuniti bola sepak Portugal amat terkesan dengan pemergian Diogo Jota dan André Silva.
“Jota bukan sahaja pemain luar biasa dengan hampir 50 penampilan bersama skuad kebangsaan, tetapi juga seorang insan yang disenangi ramai serta menjadi inspirasi kepada komuniti,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa FPF telah memohon kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) agar bertakafur selama seminit sebelum perlawanan Kejohanan Eropah Wanita antara Portugal dan Sepanyol yang dijadualkan Khamis ini.
“Kehilangan Diogo dan André tidak dapat diganti dalam dunia bola sepak Portugal.
“Kami akan terus berusaha setiap hari untuk menghormati dan mengabadikan legasi mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
