'Titipan terakhir buat Isteri' - Jota maut kemalangan selepas dua minggu kahwin

Jota beberapa hari baru melangsungkan perkahwinan dengan Rute Cardoso pada 22 Jun lalu. Foto Agensi
Jota beberapa hari baru melangsungkan perkahwinan dengan Rute Cardoso pada 22 Jun lalu. Foto Agensi
A
A
A

PENYERANG Portugal dan Liverpool, Diogo Jota maut dalam satu kemalangan jalan raya tragis bersama adiknya, André Silva, hanya dua minggu selepas melafazkan ikrar cinta sehidup semati bersama Rute Cardoso.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi waktu tempatan di perbandaran Cernadilla, wilayah Zamora, utara Sepanyol, tayar kenderaan mewah jenis Lamborghini yang dipandu Jota dikatakan meletup ketika memotong sebelum terbabas dan terbakar sepenuhnya.

“Kereta tersebut hilang kawalan akibat letupan tayar semasa cuba memotong. Api marak dan kedua-dua mangsa gagal diselamatkan,” kata jurucakap Guardia Civil Sepanyol dalam kenyataan rasmi.

Pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan identiti mangsa sebagai Diogo Jota, 28, dan adiknya, André Silva, yang turut dikenali dalam komuniti bola sepak tempatan.

Tragedi menyayat hati itu berlaku hanya 12 hari selepas Jota melangsungkan perkahwinan dengan teman lamanya, Cardoso, pada 22 Jun lalu.

Jota bersama ahli keluarganya pada 22 Jun lalu. Foto Agensi
Jota bersama ahli keluarganya pada 22 Jun lalu. Foto Agensi

Pasangan yang mempunyai tiga orang anak itu sempat berkongsi detik indah mereka di media sosial dengan kapsyen penuh simbolik: ‘Yes, forever’

Dalam beberapa foto yang dimuat naik, Jota dan Rute dilihat tersenyum bahagia dalam suasana serba indah, namun kegembiraan itu kini bertukar duka apabila pesanan cinta abadi itu menjadi titipan terakhir buat isteri tercinta.

Artikel Berkaitan:

Jota yang memulakan karier profesionalnya bersama Pacos de Ferreira, mula mencipta nama ketika menyarung jersi Wolverhampton Wanderers sebelum berpindah ke Liverpool pada 2020.

Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan antara tonggak penting skuad Portugal, dengan penyertaan dalam Euro dan Piala Dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!