Kes Ismail Sabri: SPRM akan mohon mahkamah lucut hak RM170 juta dalam tempoh terdekat

KOTA BHARU - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa permohonan untuk melucutkan kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam 'safehouse' yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Azam Baki berkata, permohonan itu dijangka difailkan di mahkamah dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.
"Dalam seminggu dua lagi, seperti yang saya umumkan, kita akan buat permohonan mahkamah untuk melucutkan harta beliau (Ismail Sabri) yang telah kita rampas.
"Jika beliau mencabar di mahkamah, kita akan teruskan perbicaraan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Persaraan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain di sini pada Khamis.
Majlis itu turut menyaksikan Rosli menyerahkan tugas kepada pengganti baharunya, Azmin Yusuff.
Azam turut menjelaskan bahawa pihak SPRM telah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penilaian selanjutnya.
"Terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menilai sama ada terdapat pertuduhan jenayah yang boleh dikemukakan atau tidak," katanya.
Katanya, sekiranya permohonan lucut hak itu berjaya, wang dan aset tersebut akan diserahkan kepada kerajaan mengikut peruntukan undang-undang.
Sinar Harian pada 25 Jun melaporkan kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam 'safehouse' yang dikaitkan dengan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

