Kerani rugi hampir RM20,000 ditipu sindiket kerja sambilan

Seorang kerani akaun mengalami kerugian RM18,573 akibat terperdaya dengan sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud. Gambar hiasan.
Seorang kerani akaun mengalami kerugian RM18,573 akibat terperdaya dengan sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kerani akaun mengalami kerugian RM18,573 akibat terperdaya dengan sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 28 tahun itu telah melihat iklan kerja sambilan di sebuah laman sesawang pada 1 Julai yang menjanjikan komisen tinggi.

Beliau berkata, mangsa yang berminat telah menghubungi suspek dan diarahkan membuat bayaran pendahuluan ke akaun yang diberi untuk tempahan hotel dan wang berkenaan akan dikembalikan dengan komisen setinggi 30 peratus.

"Mangsa telah membuat tugasan pertama dan mendapat komisen yang dijanjikan.

"Namun selepas tugasan kedua dan ketiga disiapkan, dia masih belum mendapat bayaran berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Azli berkata, mangsa kemudian sedar telah ditipu apabila suspek memberi pelbagai alasan apabila diminta memberikan wang pulangan.

"Jangan mudah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan bayaran lumayan dan tinggi. Periksa kesahihan dan dapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang transaksi kewangan," katanya. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!