Kemelut jenama XPDC bakal selesai

XPDC Kita Pengyu bakal membuat sidang media bagi menjelaskan segala isu yang timbul.
XPDC Kita Pengyu bakal membuat sidang media bagi menjelaskan segala isu yang timbul.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Segala persoalan perundangan membabitkan isu jenama dan hak cipta karya kumpulan heavy metal terkemuka tanah air XPDC Kita Pengyu dijangka menemui noktahnya dalam masa terdekat.

Menurut pengurusnya Yazid Selamat dan jurucakap rasmi media XPDC Kita Pengyu, Raja Hisyam Raja Zaid, satu sidang media khas berkenaan perkara tersebut akan diadakan sedikit masa lagi.

Menerusi laporan Awani, perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan telah pun diadakan sebelum ini untuk meneliti segala aspek berbangkit untuk menyelesaikan isu berkenaan termasuk dari sudut undang-undang.

"Ramai yang menyangka pihak XPDC Kita Pengyu hanya berdiam diri, tetapi tidak sebenarnya. Kita sedang melalui proses mengumpul segala data selain perbincangan dengan beberapa pihak.

"Kita perlu melalui garis panduan undang-undang yang ada dan ia mengambil sedikit masa.

"Bagaimanapun akan ada satu sidang media khas untuk menjawab isu ini yang akan diadakan dalam masa terdekat," jelas Raja Hisyam pada sidang media Konsert 'Satu Arah' Tour Borneo yang bakal diadakan di Tawau hujung bulan ini.

Jelasnya lagi, perkara itu perlu diselesaikan memandangkan ia sudah berlarutan sejak sekian lama.

Malah, isu penyalahgunaan nama XPDC dan material lagu oleh kumpulan tertentu telah berlaku sejak 2023 lagi iaitu selepas kematian penyanyi asal mereka Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael pada April 2023 lagi.

Ia menimbulkan kemarahan banyak pihak, terutamanya anggota asal kumpulan tersebut dan peminat fanatik mereka, apatah lagi apabila pihak berkenaan didakwa masih bebas menggunakannya dalam persembahan di serata negara.

Artikel Berkaitan:

Justeru, perkembangan terbaharu ini diharap menjadi titik noktah kepada segala kekalutan yang sekian lama berlaku.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, konsert Satu Arah yang bakal diadakan di Tawau, Sabah menjanjikan kelainan buat peminat yang sudah lama tidak disajikan dengan persembahan XPDC Kita Pengyu.

Menurut Yazid, konsert tersebut bukan sahaja menampilkan single terbaharu 'Satu Arah', malah akan disajikan dengan sistem bunyi yang hebat.

"Ini peluang terbaik bagi peminat setia kami, khususnya seluruh Tawau, untuk menyaksikan penampilan terbaharu XPDC Kita Pengyu dan deretan senarai lagu yang berbeza.

"Persembahan yang mungkin memakan masa dua jam itu nanti pastinya akan memuaskan hati peminat di sana nanti," kata Yazid.

Menurut jurucakap penganjur Dreamcatcher Project, Haris Baba, pemilihan kumpulan XPDC Kita Pengyu adalah kerana populariti kugiran itu di Sabah dan kualiti yang mampu dijelmakan oleh kumpulan heavy metal itu.

"Sehingga ke hari ini kita dapati bahawa peminat fanatik masih terlalu ramai di daerah sana yang sememangnya meminati mereka dan muzik rock.

"Dan kita amat meyakini bahawa mereka memiliki kredibiliti yang cukup untuk menampilkan persembahan yang mampu memberikan kepuasan kepada peminat di sana," kata Haris Baba kepada media pada Selasa.

Tambahnya, peminat yang hadir juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti sampingan yang bakal disediakan nanti.

Antaranya, sesi 'Meet and Greet' yang bakal diadakan sebelum konsert di mana peminat berpeluang berjumpa dengan semua anggota XPDC Kita Pengyu secara bersemuka.

Selain itu, peminat bertuah pula bakal memenangi hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur.

Konsert 'Satu Arah' Borneo Tour 2025 bakal diadakan pada 26 Julai 2025 di Dewan Masyarakat Tawau, Sabah bermula jam 8.00 malam. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!