Muhyiddin persoal terma perjanjian pembangunan Ambalat

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) antara Malaysia dan Indonesia di Blok Ambalat, iaitu kawasan perairan yang belum dimuktamadkan sempadan maritimnya.

Menurut beliau, tiada penjelasan terperinci mengenai perjanjian tersebut telah dibuat oleh kerajaan sehingga kini.

“Benarkah Malaysia tidak mengorbankan seinci pun wilayahnya dalam Perjanjian Pembangunan Bersama ini? Apakah terma-terma perjanjian ini? Tidakkah ia menjejaskan kedudukan Malaysia dalam tuntutan kedaulatan ke atas Ambalat?

“Oleh kerana pertikaian mengenai Ambalat melibatkan sempadan negeri Sabah, adakah negeri Sabah telah dirunding sebelum perjanjian pembangunan bersama ini dipersetujui oleh Malaysia dan Indonesia?” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

Dalam sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka, Jakarta minggu lalu, Anwar berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

Jelas Muhyiddin, sebarang bentuk perjanjian pembangunan bersama di wilayah yang masih menjadi pertikaian maritim seperti Ambalat hanya boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat yang tegas.

Beliau berkata, pelaksanaan perjanjian tersebut mestilah berpaksikan prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), dan tidak boleh dianggap sebagai penyerahan hak kedaulatan dalam apa jua bentuk.

Menurutnya, sebarang pengumuman berkaitan niat pembangunan bersama tanpa kejelasan syarat, mandat Parlimen, serta jaminan terhadap hak negeri Sabah merupakan langkah cuai yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap tuntutan sah Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat juga berhak bertanya, adakah terdapat klausa yang membenarkan Malaysia menarik diri sekiranya haknya dinafikan? Adakah Sabah dijamin bahagian hasil atau hak mentadbir sumber tersebut?

“Atau adakah tindakan ini hanya akan mengukuhkan tuntutan Indonesia melalui pengiktirafan tersirat dalam perjanjian pembangunan bersama?” katanya.

Tambah beliau, sebarang kerjasama yang melibatkan wilayah pertikaian mesti ditangguhkan sehingga sempadan diputuskan secara sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau menerusi mana-mana saluran undang-undang yang diiktiraf.

Jelasnya lagi, negara tidak boleh membenarkan tindakan hari ini menjadi duluan berbahaya yang memberi implikasi serius terhadap kedaulatan negara pada masa depan.

“Hak dan maruah negara tidak boleh diperjudikan. Rakyat berhak menuntut penjelasan, jaminan dan keterlibatan penuh dalam sebarang keputusan yang menyentuh kedaulatan negara.

“Apa-apa tindakan yang melanggar hak dan kedaulatan negara boleh dianggap suatu penderhakaan kepada negara,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!