[VIDEO] Sindiket letak dadah tepi longkang tumpas
JOHOR BAHRU - Sindiket pengedaran dadah dikesan meletakkan bungkusan berisi paket dadah di tepi longkang untuk diambil tokan yang membuat tempahan melalui aplikasi WeChat.
Taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa itu akhirnya terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan tiga serbuan di bandar raya ini pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, menerusi serbuan tersebut tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia 29 hingga 46 tahun diberkas.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah dadah, lima kereta, barang kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.2 juta.

"Serbuan dilakukan sekitar jam 12 tengah hari ke atas sebuah pangsapuri dan sebuah rumah teres. Seorang suspek yang ditahan ketika serbuan kedua di rumah teres telah membawa polis ke lokasi ke tiga di satu lagi unit pangsapuri.
"Modus operandi sindiket menjadikan pangsapuri berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah serbuk ekstasu sebelum diedarkan di pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor pada Rabu.
Tambah Kumar, sindiket yang aktif sejak Januari lalu menggunakan aplikasi WeChat untuk berhubung dengan tokan dadah tanpa perlu bersemuka.

"Tiada perjumpaan antara sindiket dengan pembeli. Apabila sudah capai persetujuaan bayaran akan dibuat secara dalam talian dan dadah akan dibungkus sebelum diletakkan di lokasi dijanjikan.
"Pelbagai tempat seperti dipersetujui oleh kedua pihak sebelum bungkusan dadah diletakkkan di tepi longkang, tepi jalan dan tempat sampah yang mana lokasi-lokasi itu tidak disyaki pihak berkuasa," katanya.
M Kumar memberitahu hasil ujian urin mendapati kelima-lima suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Tiga suspek lelaki termasuk dalang sindiket juga dikesan mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis atas kes jenayah serta dadah.
"Kesemua suspek kini direman sehingga Khamis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua wanita Vietnam turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

