Sindiket edar dadah dalam bilik karaoke tumpas

JOHOR BAHRU - Taktik licik sembilan ahli sindiket termasuk empat warga asing yang mengubah suai bilik di rumah sewa menjadi ruang karaoke bagi mengedar dadah terbongkar dalam serbuan pada 20 dan 21 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan termasuk dalang berusia 52 tahun, seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga Singapura, dua wanita Vietnam dan seorang wanita Laos berusia antara 21 hingga 64 tahun.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal, di mana satu unit disewa sindiket berkenaan melibatkan tangkapan seramai tiga suspek bersama sejumlah dadah.
“Serbuan kedua pula dilakukan di unit lain di aras sama pangsapuri berkenaan dan enam lagi suspek berjaya diberkas bersama dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Jumaat.

Tambah Kumar, siasatan mendapati dua unit kediaman itu diubah suai menjadi pusat karaoke, dipercayai digunakan untuk menarik pelanggan sebelum menjual dan mengedar dadah.
Kumar memaklumkan, susulan itu serbuan ketiga dilakukan di sebuah lagi pangsapuri dan sejumlah dadah turut dirampas.
“Kita percaya sindiket ini aktif sejak Mac lalu dan menjadikan pangsapuri berpagar sebagai lokasi memproses, membungkus serta menyimpan dadah sebelum diedarkan.
"Antara rampasan ialah serbuk ekstasi seberat 10.04 kilogram, Syabu (140 gram), ketamin (61.5 gram), pil eramin 5 (20 biji), pil yaba (5,370 biji), pil ekstasi (190 biji) dan cecair disyaki dadah (33 mililiter) dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM1.7 juta.
“Semua dadah ini boleh digunakan seramai 34,353 penagih. Kami tidak menolak kemungkinan sindiket ini mempunyai rangkaian pelanggan luar negara berdasarkan penahanan beberapa suspek warga asing,” ujarnya.
Menurut Kumar, polis turut merampas peralatan memproses dan membungkus semula dadah, dua kereta, wang tunai RM1,500 serta pelbagai jenis barang kemas menjadikan jumlah rampasan dan sitaan melebihi RM1.9 juta.
Katanya, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine, manakala empat lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah dan dadah.
"Suspek warga Singapura pula dikesan mempunyai rekod ‘wanted’ di negara asalnya. Semua suspek direman sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Tren terkini menunjukkan sindiket dadah di negeri ini bergerak dalam kumpulan kecil antara empat hingga lima individu,” jelas beliau.
Tambahnya, ia merupakan sindiket terbesar yang berjaya ditumpaskan setakat ini dengan kesemua sembilan ahli termasuk dalangnya diberkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

