Budaya normalisasi punca utama rasuah berleluasa

Penjawat awam tidak wajar terlibat dalam perniagaan yang berkait dengan kelulusan kerajaan kerana ia boleh menimbulkan konflik kepentingan. Gambar kecil: Zairudin Hashim
Penjawat awam tidak wajar terlibat dalam perniagaan yang berkait dengan kelulusan kerajaan kerana ia boleh menimbulkan konflik kepentingan. Gambar kecil: Zairudin Hashim
A
A
A

SHAH ALAM – Kelemahan integriti dan budaya normalisasi rasuah dalam sesetengah sektor menjadi punca utama masalah tersebut berleluasa di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Rasuah Busters Selangor, Zairudin Hashim berkata, setiap individu harus mempunyai nilai moral yang tinggi selain tegas dalam penguatkuasaan undang-undang.

Menurutnya, ia perlu dibanteras segera kerana mampu mengugat kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

Katanya, masalah utama bukan pada peraturan, tetapi pada individu yang hilang integriti.

“Apabila budaya rasuah diterima sebagai norma, ia membolehkan amalan ini terus berakar umbi dalam sistem.

“Budaya rasuah juga boleh menyebabkan setiap peringkat dalam pentadbiran mudah terjerumus dalam penyalahgunaan kuasa tanpa rasa bersalah.

“Ini bukan hanya soal undang-undang yang longgar, tetapi kegagalan menanam nilai amanah sejak awal dalam diri individu,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, dua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin berhubung skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, iaitu memberikan wang rasuah dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima wang rasuah.

Pada 18 Jun lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang ADUN dan seorang ahli perniagaan kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

Zairudin menegaskan penjawat awam tidak wajar terlibat dalam perniagaan yang berkait dengan kelulusan kerajaan kerana ia boleh menimbulkan konflik kepentingan.

“Penjawat awam memikul tanggungjawab besar sebagai penjaga amanah rakyat. Jika mereka menggabungkan kuasa dengan kepentingan perniagaan sendiri, ia membuka pintu kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa,"ujarnya.

Zairudin juga mencadangkan penggunaan media sosial dan animasi sebagai alat berkesan untuk mendidik golongan muda mengenai bahayanya rasuah.

“Media sosial bukan hanya hiburan. Menerusi mesej yang tepat dan kreatif, ia mampu membentuk minda generasi muda agar menolak rasuah.

"Selain itu, pendidikan integriti dari peringkat awal dan perlindungan kepada pemberi maklumat perlu diperkukuh untuk memastikan usaha membanteras rasuah lebih berkesan.

“Untuk perubahan jangka panjang, kita mesti mulakan dari sekolah dan rumah. Integriti perlu menjadi budaya, bukan sekadar slogan kempen bermusim,” tegasnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!