Bapa tiri, abang kandung mengaku salah rogol remaja 15 tahun

BALING - [DIKEMAS KINI] Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah atas pertuduhan merogol anak tirinya berusia 15 tahun dalam kejadian bulan lalu.
Lelaki berusia 49 tahun terbabit membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Najwa Che Mat ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, perbuatan itu dilakukan di rumah mereka kira-kira jam 4 petang pada 24 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Masniah Dolah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Bagaimanapun, hukuman ke atas tertuduh belum diputuskan memandangkan masih menunggu laporan penuh perubatan.
Tertuduh ditawar jaminan sebanyak RM30,000 dan mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen.
Dalam mahkamah sama, lelaki itu turut berdepan pertuduhan berasingan kerana memiliki bahan lucah.
Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki bahan lucah berupa gambar dan video di dalam telefon bimbitnya di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Baling pada jam 3.40 petang, 27 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Najwa menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap bagi kesalahan itu.
Dalam pertuduhan berasingan, mangsa sama turut dirogol oleh abang kandungnya yang berusia 17 tahun kira-kira jam 10 pagi pada 15 Jun 2025.
Abang kandung mangsa mengaku salah atas pertuduhan itu di hadapan hakim yang sama, namun hukuman belum dijatuhkan bagi menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Hakim menetapkan 30 Oktober ini untuk serahan laporan akhlak dan membenarkan abang kandung mangsa diikat jamin sebanyak RM4,000.

Dalam pada itu, isteri pengawal keselamatan iaitu ibu kandung mangsa berusia 45 tahun turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan gagal melaporkan jenayah seksual yang berlaku terhadap anaknya kepada pihak polis.
Mengikut pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan seksual berlaku terhadap anak perempuannya, namun gagal membuat laporan kepada mana-mana pegawai polis.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 10 pagi, 24 Julai 2024 di sebuah sekolah menengah di Baling di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.
Wanita itu kemudian mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan dan didenda RM2,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

