Duda didakwa cabul anak majikan berusia 6 tahun

Mahfuz (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Mahfuz (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Isnin.
A
A
A

MELAKA – Seorang duda berusia 50 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga anak kepada majikannya.

Tertuduh, Mahfuz Mahmud, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah keluarga mangsa di Batu 3, Kampung Duyong, di sini kira-kira jam 11.25 pagi, 21 Jun lalu.

Difahamkan, sebelum kejadian tertuduh memberi alasan ingin masuk ke dalam rumah untuk minum air sebelum mendekati mangsa yang sedang menonton televisyen.

Tertuduh kemudian mengunci pintu rumah tersebut menyebabkan bapa mangsa berasa curiga.

Bapa mangsa yang juga majikannya segera menyemak rakaman CCTV melalui telefon bimbit dan terkejut melihat perbuatan tertuduh terhadap anaknya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azfar Mahmud, mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 serta memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai dan melapor diri setiap bulan di balai polis.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh, yang merupakan bapa kepada lima orang anak dan tidak diwakili peguam merayu agar jaminan direndahkan kerana hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan serta menyara anak-anak dan ibunya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan dan sebutan semula kes pada 29 Julai depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!