Kerja naik taraf Jalan Tok Kangar dijangka siap tahun depan

JURU - Penduduk di sekitar Jalan Tok Kangar di sini, boleh menarik nafas lega apabila isu naik taraf dan pelebaran jalan raya yang berlarutan lebih lapan tahun lalu akan dapat diselesaikan tidak lagi.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek pelebaran jalan dari satu lorong ke dua lorong dari Jalan Perusahaan ke Persimpangan Jalan Tok Kangar Fasa Dua yang berlaku kelewatan disebabkan atas pelbagai faktor.
Menurutnya, disebabkan kontraktor asal tidak dapat memenuhi terma-terma kontrak dan menyiapkan projek berkenaan mengikut tempoh ditetapkan mengakibatkan kontraknya telah ditamatkan pada 23 Disember tahun lalu.
"Berikutan itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku agensi pelaksana telah melantik kontraktrok penyiap bagi menjalankan baki-baki kerja di tapak dan ia mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan.
"Kontraktor penyiap telah masuk tapak 15 April lalu dan kita jangkakan semua kerja-kerja dapat disiapkan pada 14 Oktober tahun depan," katanya pada sidang akhbar di tapak projek di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, beberapa skop kerja baharu juga perlu dilakukan oleh kontraktor penyiap antaranya membina jambatan baharu di laluan berkenaan dan pembinaan kolam takungan sementara tambahan di tapak projek.

Jelasnya, pembinaan kolam takungan baharu itu bagi mengurangkan risiko banjir di laluan terbabit.
Selain itu, katanya, kontraktor juga akan menempatkan kawasan pusingan U dan lampu isyarat di Taman Delima.
"Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas ada dibangkitkan juga sama ada laluan lencongan akan dibuka boleh dibuka kepada pengguna jalan raya di sini dan sukacita dimaklumkan PDC telah menyiapkan kerja-kerja turapan dan pembukaan lencongan jalan akan dibuka bermula hari ini," katanya.
Sementara itu, Hsiao Leung melahirkan rasa syukur dan gembira dengan perkembangan projek berkenaan yang akan memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan Juru terutama mereka yang melalui laluan berkenaan setiap hari.
Katanya, pemasangan lampu solar di sepanjang laluan dan kamera litar tertutup di laluan berkenaan juga akan mengurangkan risiko kemalangan yang pasti melegakan pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran.
November tahun lalu, Sinar Harian melaporkan keluhan Penduduk di sekitar kawasan Juru yang menuntut penjelasan dan tindakan segera kerajaan dalam menangani isu kesesakan trafik serta jalan rosak di Jalan Tok Kangar di sini selepas ia didakwa berlarutan lebih lapan tahun lalu.
Masalah yang berlaku bukan sahaja mengakibatkan mereka terperangkap dalam kesesakan yang panjang terutamanya pada waktu puncak malah keadaan lebih teruk lagi apabila kawasan itu dikatakan sering berlaku banjir kilat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

