'Terguna' duit majikan RM21,000, wanita buat laporan palsu kononnya disamun

Seorang pekerja membuat laporan palsu kononnya wang milik majikannya sebanyak RM21,000 disamun. Gambar hiasan (Gambar kecil: Kumarasan)
Seorang pekerja membuat laporan palsu kononnya wang milik majikannya sebanyak RM21,000 disamun. Gambar hiasan (Gambar kecil: Kumarasan)
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Taktik licik seorang pekerja yang membuat laporan palsu mendakwa wang milik majikannya sebanyak RM21,000 disamun akhirnya memakan diri apabila perkara sebenar terbongkar selepas siasatan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, wanita berusia 23 tahun itu membuat laporan polis sekitar jam 2.23 petang pada Isnin.

"Dia melaporkan bahawa telah disamun di kawasan Gelang Patah dan wang tunai milik majikannya berjumlah RM21,000 telah dilarikan oleh seorang suspek.

"Hasil siasatan mendapati wang tersebut telah digunakan oleh wanita berkenaan untuk perbelanjaan peribadi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, pihaknya turut menerima laporan kedua melibatkan kes laporan polis palsu yang dibuat sekitar jam 1.35 pagi Selasa oleh seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

Jelasnya, lelaki itu mendakwa telah disamun di tepi jalan di kawasan Kangkar Pulai dan beg miliknya yang mengandungi dokumen peribadi telah dilarikan.

"Hasil siasatan awal mendapati pengadu sebenarnya membuat laporan palsu bagi mengelakkan dikenakan denda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa membuat pembaharuan kad pengenalan yang telah tercicir.

"Orang ramai diingatkan bahawa perbuatan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!