Penglibatan generasi muda lestari seni budaya Perak

SERI MANJUNG - Penyertaan aktif golongan muda dalam penganjuran Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025 menjadi elemen penting dalam usaha melestarikan warisan seni dan budaya negeri Perak.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, program yang berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Jun itu bukan sahaja mengetengahkan seni budaya tempatan, malah menggalakkan generasi muda menghargai dan meneruskan kesinambungan tradisi yang semakin dilupakan.
“Uniknya Perak ini adalah pada tradisi seperti rebana Perak dan tarian dabus. Kita angkat kesenian ini agar dapat dinikmati masyarakat bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga antarabangsa.
“Paling membanggakan, keterlibatan generasi muda dalam program kali ini jelas menunjukkan seni budaya masih mendapat tempat di hati anak muda dan ia penting untuk memastikan kelestariannya terus terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025 di pekarangan Stadium Manjung, di sini.
Majlis perasmian disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Mohd Amran berkata, program anjuran JKKN itu merupakan antara inisiatif pelancongan budaya yang diadakan secara tahunan di setiap negeri.

“Berdasarkan sambutan yang diterima sejak hari pertama, masyarakat Manjung memberi respon yang sangat baik dan kehadiran mencecah 50,000 pengunjung untuk empat hari penganjuran.
Tambahnya, kejayaan penganjuran tahun ini turut dipacu sokongan padu daripada kerajaan negeri serta pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri.
“Insya-ALLAH, pada tahun depan kita akan teruskan program ini, sama ada kekal di Manjung atau beralih ke daerah lain untuk memberi peluang kepada komuniti setempat merasai sendiri keunikan budaya negeri Perak,” katanya.
Pengisian menarik
Program selama empat hari itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk Malam Gala Perasmian yang menampilkan persembahan artis popular tanah air seperti Nadeera Zaini, Fairuz Selamat, Mya Nana serta Hidayah Halim diiringi Kombo Muzik JKKN Perak serta pelbagai kumpulan seni kebudayaan negeri.
Kelainan yang ditampilkan pada temasya ini juga adalah Rebana Perak Extravaganza “Moh Rebana 5.0” yang melibatkan persembahan Rebana Perak seramai 250 peserta tanpa henti selama empat jam.
Selain itu, terdapat juga Klinik Seni Budaya (Rebana dan Dabus), demonstrasi seni, pameran agensi dan budaya pelbagai kaum serta jualan produk kraf industri kecil dan sederhana (IKS) dan vendor tempatan.
Program itu juga akan diserikan lagi dengan program Adat Negeri Perak melalui Apresiasi Adat Masyarakat Banjar & Tradisi Cukur Jambul yang kian dilupakan oleh generasi baharu.
Terdapat lebih 15 jenis pertandingan terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat antaranya ialah Pertandingan Rebana Perak, Dabus Kreasi, Tarian Rampaian Tradisional, Simfoni Rohani (Nasyid), Tinta Jawi dan Mua’azin Idol.
Turut diadakan ialah Chinese Idol, Mobile Grafi: OOTD from Phone to Fame, Gubahan Sireh Junjung, Busana Kitar Semula, Senam Tari Berkumpulan serta pertandingan mewarna dan face painting keluarga.
Aktiviti sukan rakyat, pameran motosikal klasik serta persembahan bakat tempatan juga menjadi tarikan utama sepanjang program.
Rebana Perak terus diwarisi generasi muda
Seni permainan Rebana Perak terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda hasil usaha berterusan kumpulan dan individu yang komited memelihara warisan budaya negeri itu.
Ketua Kumpulan Rebana Cahaya Warisan Ipoh, Azamizam Mohd Sarip berkata, meskipun minat dalam kalangan belia terhadap permainan tradisional itu dilihat semakin berkurangan, pendekatan kreatif yang diketengahkan mampu menarik perhatian mereka untuk mendalami seni berkenaan.
Menurutnya, perbezaan ketara antara rebana dan alat muzik tradisional lain seperti kompang memberi keunikan tersendiri kepada seni persembahan itu.
“Rebana mempunyai saiz dan teknik pukulan yang berbeza serta irama nyanyian tersendiri. Ia lazimnya diperbuat daripada kulit kerbau atau lembu, berbeza dengan kompang yang menggunakan kulit kambing dan lebih nipis.
“Rebana dimainkan secara berkumpulan, biasanya antara 10 hingga 13 orang dan boleh dipersembahkan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira jantina atau peringkat umur,” katanya ketika ditemui pada Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025 di pekarangan Stadium Manjung, di sini pada Sabtu.
Azamizam yang turut bertindak sebagai tenaga pengajar berkata, kekangan utama dalam menarik minat golongan muda ialah aspek nyanyian yang lazimnya menggunakan kitab berzanji dalam bahasa Arab.
“Saya sesuaikan lagu-lagu dengan kehendak semasa menggunakan bahasa Melayu, tetapi masih mengekalkan rentak rebana yang asli.
“Saya juga mahu ubah persepsi bahawa persembahan rebana hanya sesuai untuk kenduri kahwin. Melalui pembaharuan ini, kita dapat membuka ruang lebih luas permainan rebana untuk diketengahkan dalam pelbagai majlis dan acara,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak yang sentiasa menyokong usaha mengangkat seni budaya tempatan termasuk melalui penganjuran program seperti temasya berkenaan.
“JKKN Perak banyak membantu menyediakan platform yang membolehkan persembahan rebana dipertontonkan kepada umum. Ini penting bagi memastikan kesenian ini tidak pupus dan terus dipelajari oleh generasi muda.
“Malah saya percaya, dengan usaha berterusan, tidak mustahil satu hari nanti permainan rebana Perak akan dipelajari oleh pelbagai kaum di negara ini,” katanya.
REAKSI

"Temasya Budaya @ Negeri Perak 2025 yang dianjurkan JKKN Perak memartabatkan seni budaya bukan sahaja untuk masyarakat Melayu tetapi kaum lain.” - Nur Iman Syafi Saberi, 16, pelajar

"Pengunjung juga dapat mengenali barangan atau peralatan yang jarang ditemui di kedai-kedai biasa dan ia dihasilkan oleh Orang Asli.” - Siti Norain Usop, 35, suri rumah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

