4 ditahan guna pangkalan haram rentas sempadan

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat individu yang merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok di sini pada Jumaat dan Sabtu.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan pertama dilakukan pada jam 6.20 petang Jumaat melibatkan seorang lelaki dan wanita tempatan di pangkalan haram Pohon Jambu semasa penugasan Op Taring Wawasan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen keluar masuk ke Malaysia yang sah.

"Mereka berusia 20 dan 21 tahun itu dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, suspek wanita didapati positif dadah jenis ketamine.
Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen dan 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Nik Ros Azhan memberitahu, tangkapan kedua melibatkan lelaki dan wanita warganegara Thailand yang masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram Tanjung pada jam 6 petang Sabtu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek itu tidak mempunyai dokumen keluar masuk ke Malaysia yang sah.
"Mereka yang berusia 34 dan 40 tahun itu dibawa ke IPD Tumpat untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurut beliau, kes terbabit disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

