Lori bauksit dikesan bawa lebih muatan

Operasi khas pemeriksaan dan penimbangan terhadap lori membawa bahan galian bauksit yang diadakan di laluan sekitar daerah ini, Khamis lalu. Foto FB JPJ Pahang
Operasi khas pemeriksaan dan penimbangan terhadap lori membawa bahan galian bauksit yang diadakan di laluan sekitar daerah ini, Khamis lalu. Foto FB JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang memperketatkan kawalan dengan mengadakan operasi khas pemeriksaan dan penimbangan terhadap lori membawa bahan galian bauksit di laluan sekitar daerah ini, Khamis lalu.

Unit Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dalam kenyataannya berkata, dalam operasi itu, 50 lori membawa bauksit diperiksa dan 19 daripadanya dikenakan tindakan.

Menurutnya, sembilan lori dikesan membawa lebih muatan dan 10 lagi dikesan mengubah suai dengan menambah pagar tanpa kebenaran.

JPJ Pahang turut memberi perhatian terhadap lori kotor dengan sisa galian yang tidak dibersihkan pada operasi khas, Khamis lalu. Foto FB JPJ Pahang
JPJ Pahang turut memberi perhatian terhadap lori kotor dengan sisa galian yang tidak dibersihkan pada operasi khas, Khamis lalu. Foto FB JPJ Pahang

"Operasi tersebut dilaksanakan sebagai satu langkah bagi memastikan aktiviti pengangkutan bauksit tidak kembali menjadi isu keselamatan dan pencemaran seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

"Fokus utama operasi termasuk semakan lesen dan permit, muatan, pemeriksaan teknikal lori (tayar, brek, lampu, dan sistem stereng) dan pemeriksaan penutup muatan," ujarnya.

Jelas kenyataan itu lagi, JPJ Pahang turut memberi perhatian terhadap lori kotor dengan sisa galian yang tidak dibersihkan.

"Ini kerana, sisa galian yang tertinggal dan jatuh dari lori boleh mencemarkan jalan serta membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, lori yang gagal mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Justeru katanya, JPJ akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, kebersihan alam sekitar dan integriti pengangkutan bahan galian sentiasa dipelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!