Polis Pahang tubuh jawatankuasa khas tangani kes kecurian di laluan ECRL

Wan Mohd Zahari (kiri) menyerahkan tugas sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan kepada Mohd Adli (kanan) disaksikan Yahaya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, pada Selasa.
Wan Mohd Zahari (kiri) menyerahkan tugas sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan kepada Mohd Adli (kanan) disaksikan Yahaya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN – Polis Pahang menubuhkan jawatankuasa khas bersama pihak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi menangani kes kecurian kabel di sepanjang laluan projek berkenaan di negeri ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata beberapa siri perbincangan telah diadakan dan mesyuarat terbaharu dijadualkan pada Jumaat ini.

Beliau berkata, antara langkah yang dicadangkan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko tinggi bagi memudahkan pemantauan.

“Kebanyakan laporan berkaitan kecurian berlaku di tapak projek dalam daerah Kuantan dan Maran, jadi kita akan letak CCTV di laluan itu kerana ia merupakan kawasan terpencil.

“Apabila laporan kecurian dibuat sebelum ini juga, kita tidak tahu berapa lama ia berlaku selepas pemasangan kabel dilakukan dan ini menyukarkan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini pada Selasa.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan tugas daripada Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu kepada Superintenden Mohd Adli Mat Daud sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan yang disaksikan Yahaya.

Wan Mohd Zahari sebelum ini dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Negeri Perak dengan pangkat Senior Asisten Komisioner.

Wan Rohani Wan Ishak selaku Pengerusi Perkep Daerah Kuantan turut menyerahkan tugasnya kepada Zarina Omar @ Yusof sambil disaksikan oleh Pengerusi Perkep Kontinjen Pahang, Datin Seri Sumarnie Haris.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis sama, Deputi Superintenden Seah Boon Kok sebagai Pemangku Ketua Jabatan Jenayah Komersial Pahang telah menyerahkan tugasnya kepada Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah.

Yahaya berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Jun lalu, polis menerima lapan laporan kecurian kabel membabitkan kerugian melebihi RM200,000 di beberapa tapak projek ECRL di negeri ini.

Baru-baru ini, pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) turut menyuarakan kebimbangan terhadap insiden kecurian kabel yang dibimbangi boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi projek tren itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!