Skandal rasuah ADUN Sabah: Timbalan Presiden PBS tegas tidak terlibat

Jahid Jahim
Jahid Jahim
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Jahid Jahim menafikan dakwaan yang tidak berasas yang disiarkan sebuah portal berita yang menuduhnya menerima rasuah sebanyak RM150,000 berkaitan skandal perlombongan.

Jahid menegaskan bahawa beliau tidak terlibat langsung dalam sebarang skandal perlombongan seperti yang didakwa dan tidak pernah menerima sebarang dana berkaitan dengan kelulusan atau pemberian lesen perlombongan di Sabah, memandangkan kementerian yang dipegangnya tidak mempunyai kuasa dalam pemprosesan lesen tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli menegaskan bahawa tiada sebarang lesen berkaitan perlombongan telah diluluskan atau dikeluarkan di kawasannya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kebimbangannya terhadap amalan segelintir pihak yang menggunakan atau salah guna media untuk mencipta naratif palsu mengenai rasuah sebelum siasatan rasmi dijalankan.

"Pendekatan portal berita itu yang cuba membentuk persepsi awam dengan mewujudkan naratif sedemikian adalah satu pelanggaran undang-undang kerana ia mengundang masyarakat untuk menjatuhkan hukuman sebelum proses undang-undang dilaksanakan," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyokong kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang turut menafikan dakwaan sama berkaitan penggunaan media untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau menyifatkan taktik berkenaan sebagai sebahagian daripada buku panduan pertukaran rejim yang digunakan di Sabah sejak 1960-an.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguamnya dan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap berita portal dan penulis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!