Majlis Peguam gesa kerajaan umum status lantikan Ketua Hakim Negara

Mohamad Ezri.
Mohamad Ezri.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan segera mengumumkan sebarang pelantikan baharu atau lanjutan tempoh Ketua Hakim Negara mengikut Perlembagaan dan proses Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman.

Gesaan itu dibuat selepas timbul kebimbangan apabila tiada pengumuman rasmi dikeluarkan sedangkan tempoh perkhidmatan penyandang akan berakhir esok.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab, jawatan Ketua Hakim Negara bukan sekadar simbolik, sebaliknya teras kepada integriti, kebebasan dan kelancaran keseluruhan sistem kehakiman.

“Kegagalan menangani isu ini tepat pada masanya mencerminkan kelemahan tadbir urus dan boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat, sekali gus membuka ruang kepada spekulasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Ezri menegaskan Majlis Peguam tidak pernah melobi mana-mana individu untuk dilantik atau dilanjutkan tempoh perkhidmatannya, sebaliknya berpegang kepada prinsip memelihara institusi kehakiman.

Tambahnya, isu berkenaan bukan berhubung sokongan terhadap individu tertentu, tetapi tuntutan ketelusan dan kepatuhan kepada amalan demokrasi berperlembagaan.

Beliau memaklumkan negara sebelum ini mempunyai teladan jelas dalam melantik pemangku atau membuat peralihan kepimpinan kehakiman lebih awal, menjadikan situasi terkini sebagai luar biasa dan berbahaya.

“Ketiadaan keputusan rasmi memberi ruang kepada khabar angin dan menghakis keyakinan awam, sesuatu yang sepatutnya boleh dielakkan,” jelasnya

Dalam pada itu beliau turut merujuk kenyataan Perdana Menteri pada Isnin yang menolak sebarang usaha melobi lanjutan jawatan Ketua Hakim dan menekankan keperluan melindungi badan kehakiman daripada politisasi.

Artikel Berkaitan:

“Majlis Peguam menyokong sepenuhnya prinsip supaya pelantikan kehakiman bebas daripada tekanan politik atau luar.

“Bagaimanapun, majlis ini mengingatkan agar kebimbangan sah berhubung kelewatan institusi tidak disamakan dengan cubaan mempolitikkan proses pelantikan.

“Kebebasan kehakiman bukan sekadar slogan tetapi mesti dipertahan melalui tindakan tegas dan keputusan yang membina kepercayaan, bukannya kecurigaan,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!