Pecah amanah wang khairat kematian peneroka, bekas pembantu tadbir dipenjara

Tertuduh dipenjara tiga bulan dan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin atas tuduhan pecah amanah wang khairat kematian melebihi RM41,000 kira-kira tujuh tahun lalu.
Tertuduh dipenjara tiga bulan dan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin atas tuduhan pecah amanah wang khairat kematian melebihi RM41,000 kira-kira tujuh tahun lalu.
A
A
A

 

 

KUANTAN - Seorang bekas pembantu tadbir sebuah pejabat Felda dipenjara tiga bulan dan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan pecah amanah wang khairat kematian melebihi RM41,000 kira-kira tujuh tahun lalu.

Hakim Sazlina Safie memerintahkan hukuman penjara ke atas Nurul Syafiha Awang Za, 36, bermula dari tarikh dia disabitkan.

Ibu kepada tiga anak itu turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh diamanahkan wang tunai RM41,652 untuk bayaran khairat kematian kepada tujuh waris peneroka Felda Sungai Panching Timur di sini yang meninggal dunia.

Bagaimanapun dia didakwa telah melakukan pecah amanah apabila secara tidak jujur menggunakan wang tersebut bagi kegunaan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Felda Panching Timur antara Februari 2018 hingga Jun 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Datuk Syed Azimal Syed Abu Bakar yang mewakili tertuduh terdahulu memohon kepada mahkamah hukuman penjara dan denda minimum ke atas anak guamnya itu.

Dalam rayuan berkenaan, Syed Azimal memberi alasan pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Rayunya lagi, selepas ditahan pada 2021, anak guamnya tidak bekerja sebaliknya wanita tersebut dan tiga anak berusia tiga hingga 12 tahun bergantung sepenuhnya kepada suami.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman tiada bantahan terhadap rayuan itu sebaliknya menyerahkannya atas budi bicara mahkamah.

Tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding berjalan dan ketika hukuman ke atasnya dijatuhkan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!