Eksekutif IT didenda RM20,000 tipu jual beli Rolex RM140,000

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada eksekutif IT warga China selepas mengaku menipu dalam urusan jual beli tiga jam tangan Rolex.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada eksekutif IT warga China selepas mengaku menipu dalam urusan jual beli tiga jam tangan Rolex.
A
A
A

 

KUALA LUMPUR – Seorang eksekutif teknologi maklumat (IT) warga China didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas satu pertuduhan menipu dalam urusan jual beli tiga utas jam Rolex mencecah lebih RM140,000, bulan lalu.

Wu Zhiwei, 27, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dibaca dalam bahasa Mandarin, di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa menipu seorang lelaki yang juga jurujual jam tangan mewah berusia 25 tahun, dalam urusan jual beli tiga jam tangan jenama Rolex menyebabkan mangsa menyerahkan hartanya iaitu dua model Rolex Datejust 41 dan satu Black Submariner berharga RM146,657.

Mangsa tidak akan menyerahkan jam tangan tersebut jika tidak diperdayakan dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Khoo Teik Ee, Dang Wangi di sini pada 4 hingga 16 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Tan Cheng Yee yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya tidak pernah mempunyai rekod jenayah lampau.

“Dia perlu menanggung ibu bapa yang tua, mengaku insaf dan memohon mahkamah mengurangkan hukuman tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam terutama mangsa mengalami kerugian lebih RM100,000,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!