Guru diperintah bela diri amang seksual pelajar dalam surau

SEREMBAN - Seorang guru diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid perempuannya berusia 13 tahun di surau sekolah pada tiga tahun lalu.
Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Farid Azhar Nawi, 47.
Beliau ketika membacakan keputusan pada akhir kes pendakwaan berkata, keputusan itu dibuat setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan eksibit serta membaca hujahan bertulis daripada kedua-dua belah pihak.
"Pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Oleh itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri dan diberi tiga pilihan iaitu memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi, memberi kenyataan tidak bersumpah atau berdiam diri," katanya.
Peguam, Nor Azleen Khairina A Aziz memaklumkan tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh bagi maksud seksual pinggang seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun ketika kejadian yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 Ogos 2022 jam lebih kurang 5.30 petang di surau sebuah sekolah menengah di Senawang di sini.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(c) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta penjara lima tahun dan dua sebatan.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes, manakala 1 dan 14 Ogos untuk tarikh bicara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

