Lelaki tidak mengaku amang seksual pelajar di hotel bajet

ALOR SETAR - Seorang tenaga pengajar sebuah madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki di sebuah hotel bajet pada Sabtu lalu.
Tertuduh, 31, memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini pada Rabu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba kemaluan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Tandop Utama, Kota Setar pada jam 2.35 pagi.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri dan tertuduh pula telah diwakili peguam, Mohd Imran Farouk.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah agar tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana turut berdepan tujuh lagi pertuduhan di bawah seksyen sama di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.
Hakim kemudian menetapkan tertuduh tidak diberikan jaminan dan kes disebut semula pada 23 Mac depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

