Boleh kritik, jangan mencela

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KITA hidup dalam zaman di mana semua orang ada telefon pintar, ada akaun media sosial dan capaian internet.

Jadi, semua orang ada suara. Kita bebas untuk beri pendapat, bebas untuk beri komen, bebas untuk luah rasa tak puas hati dan bebas kritik apa yang kita rasa tak betul.

Itu bagus, sebab masyarakat yang sihat ialah masyarakat yang berani bersuara.

Zaman sekarang semua orang boleh jadi wartawan, pengulas, penganalisis, pengkritik — bahkan ada yang rasa macam ‘hakim media sosial’.

Cuma kadang-kadang, apabila mengkritik di media sosial, kita selalu terbabas. Sering kali terlajak. Ada yang tak ikut akal fikiran tetapi terbawa-bawa dengan emosi.

Mungkin niat asal nak tegur, tapi menjadi satu penghinaan. Ada kalanya sampai mencela. Niat asal nak betulkan orang tapi bahasa kita macam nak menjatuhkan maruah orang.

Ada rakan berkata, orang Malaysia terkenal dengan adab tetapi bukan netizennya.

“Kalau baca komen di media sosial, geleng kepala dibuatnya. Ada yang bertudung, bersongkok haji tapi bahasa yang diguna memang luar biasa,” katanya.

Inilah yang saya maksudkan dengan kritik jangan sampai mencela.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, ramai yang rasa mereka sedang ‘menegur’ atau ‘menasihati’, tapi nada dan gaya penyampaian mereka lebih kepada mencela, menghina, memalukan dan menjatuhkan maruah.

Kita nak orang dengar kita, tapi kalau nada kita penuh maki hamun, siapa nak dengar?

Kita semua ada peranan sebagai netizen. Bukan saja untuk bersuara, tapi juga untuk tunjuk contoh.

Kalau marah pada sesuatu isu, marahlah tapi biar berhemah. Kalau tak puas hati dengan pemimpin, selebriti atau sesiapa pun, kritiklah, tapi fokus pada tindakan.

Kebebasan bersuara itu hak tapi bukan sewenang-wenangnya. Seperti kata seorang menteri, jangan marah kalau ada panggilan nanti ataupun ada radio car yang singgah di rumah anda. “We are monitoring, behave yourself.”

Kita nak kritik pemimpin? Boleh. Nak tegur selebriti? Silakan. Nak luah tak puas hati tentang dasar kerajaan, isu sosial, atau perkara semasa? 

Lakukan, sebab itu tanda rakyat prihatin. Tetapi bukan memaki hamun seperti menyerang rupa fizikal, babitkan ahli keluarga atau hal-hal peribadi.

Ingat, kadang-kadang satu ayat kita di internet, boleh tinggal kesan sepanjang hidup orang lain.

Dosa jariah adalah dosa yang terus mengalir dan berterusan, bahkan setelah pelakunya meninggal dunia. Kita tak tahu apa yang orang itu sedang lalui. Jangan sebab jari kita ringan menaip, hati orang lain yang menanggung deritanya.

Jadi saya harap, lepas ini kita sama-sama beringat:

Kritik boleh, tapi jangan mencela.

Tegur boleh, tapi jangan menghina.

Marah boleh, tapi jangan sampai hilang adab.

Sebab akhirnya, suara yang beradab lebih kuat kesannya daripada suara yang penuh makian.

Dalam Islam, dalam budaya kita, dalam moral apa pun, menegur itu ada caranya. Teguran yang betul, walaupun pahit, boleh membuka hati.

Kita kena bezakan antara kritikan yang membina dengan cercaan yang menjatuhkan.

Kritikan membina itu bersifat jelas, berpaksikan fakta dan bertujuan menambah baik.

Cercaan pula lebih kepada emosi, dendam dan kadang-kadang sekadar nak tularkan sesuatu untuk tontonan.

Kita kena akui bahawa budaya netizen kita hari ini semakin hari semakin ‘garang’.

Asal ada isu, belum pun semak fakta, terus komen, terus kecam. Asal tak puas hati, terus serang secara peribadi.

Kita lupa bahawa di sebalik setiap akaun media sosial itu ada manusia. Ada hati, ada keluarga dan ada maruah.

Kita juga lupa bahawa kita sendiri pun bukan sempurna. Hari ini kita kutuk orang, esok kalau kita diuji. Bagaimana pula? Kita tetap perlu bersuara.

Kita tetap perlu kritis tapi biarlah dengan adab, dengan akhlak dan dengan empati. Kalau kita nak orang berubah, tegur dengan cara yang boleh membuatkan dia rasa dihormati.

Kalau kita nak sistem diperbaiki, suarakan dengan cara berfakta, bukan beremosi semata-mata. Kalau kita tak suka seseorang, itu bukan lesen menjadikan dia bahan hinaan umum.

Bayangkan kalau setiap netizen di negara ini boleh menegur dengan adab, atau setiap kritikan kita boleh menyedarkan, bukan membinasakan.

Saya yakin, masyarakat kita akan jadi jauh lebih matang dan sihat. Semoga perkongsian ini beri manfaat buat kita semua.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Editorial Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!