Avillion Hotel Group mahu jadi pesaing sektor perhotelan

A
A
A
Avillion Hotel Group Sdn Bhd sasar untuk menjadi peneraju dan pesaing utama dalam sektor perhotelan khususnya di Cameron Highlands.

Memandangkan keadaan iklim yang sejuk dan alam semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna serta tarikan landskap yang menarik, pihaknya komited memfokuskan golongan pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi golongan profesional, Avillion Cameron Highlands menyediakan kemudahan internet berkelajuan tinggi dan penyediaan bilik-bilik mesyuarat dilengkapi peralatan terkini yang ultra moden.

Manakala, bagi golongan pelancong yang berkeluarga, Avillion Cameron Highlands menyediakan bilik yang luas dilengkapi balkoni dan pantri seperti peti ais besar, sinki dan ruang kabinet yang besar.

Di samping itu, persekitaran yang memberikan keriangan kepada kanak-kanak seperti taman permainan terbuka bersebelahan lobi hotel turut disediakan.

Lebih menarik, hotel terletak di tengah-tengah pekan Tanah Rata ini tersedia kemudahan lain di sekelilingnya seperti restoran, kedai, bank, pasar raya, pejabat pos, hab pengangkutan dan kedai servis.

Avillion Cameron Highlands tawar suasana damai

Pengarah Eksekutif Avillion Berhad, Yulina Baharuddin berkata, Avillion Hotel Group Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Avillion Berhad yang diinspirasikan pada awal 1990 serta tersenarai di dalam Bursa Saham Malaysia.

Menurutnya, Avillion Hotel Group mengendalikan rangkaian resort, hotel dan spa di Malaysia dan Indonesia dengan masing-masing menawarkan identiti keperibadian dan suasana tersendiri.
Artikel Berkaitan:


"Ini termasuklah, Avillion Port Dickson, Avillion Admiral Cove, Avillion Legacy Melaka, Avillion Villa Cinta Bali, Avi Spa, Marina Club dan yang terbaharu Avillion Cameron Highlands.

"Avillion Cameron Highlands bertaraf hotel empat bintang yang dibina pada 2018 dengan menyasarkan pelancong-pelancong yang ingin melarikan diri seketika daripada kesibukan kota selain mensasarkan kumpulan-kumpulan korporat dan kerajaan yang ingin mengadakan mesyuarat dan aktiviti berkumpulan di Cameron Highlands,” katanya.

beliau turut menyifatkan Cameron Highlands sebagai sebuah destinasi pelancongan yang mendamaikan serta jauh dari hiruk-pikuk ibu kota sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendekati alam semula jadi tanpa mengorbankan gaya hidup moden.

Gabung kemudahan moden, konsep kontemporari

Yulina berkata, Avillion Hotel Group berbangga menjadi pengurus hotel untuk pemilik bangunan Cameron Fair Sdn Bhd yang direka berkonsepkan kemudahan moden dengan menggabungkan kemewahan kontemporari menerusi tarikan tempatan.

"Avillion Cameron Highlands menawarkan 100 unit bilik dengan keluasan 35 hingga 85 kaki persegi seunit serta ruang mesyuarat yang boleh diubahsuai mengikut keperluan pelawat korporat dan kerajaan.

"Manakala, taman permainan, gym dan sebuah ‘coffee house’ turut tersedia bagi penuhi keperluan segmen perniagaan dan santai," katanya.

Sebagai tambahan menarik, ia turut ketengahkan konsep hotel yang mempunyai kemudahan pusat beli-belah yang berada di aras bawah hotel, 20 kedai komersial dan 10 rangkaian restoran yang telah beroperasi untuk memenuhi citarasa berbeza pengunjung yang menginap di hotel Avillion Cameron Highlands.

Johor Bahru sasaran seterusnya

Bagi memenuhi keperluan industri pelancongan dan perhotelan yang pesat membangun ketika ini, pihak pengurusan melihat Johor Bahru sebagai sasaran ideal bagi mengembangkan sayap niaga yang mana bertepatan dengan status Johor Bahru sebagai salah satu bandaraya di selatan tanah air yang menjadi tarikan pelancong.

"Selain itu ia adalah kawasan yang mempunyai kedudukan bandaraya strategik serta sesuai untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara termasuk Singapura," katanya.

Avi Johor Bahru yang masih dalam perancangan ini, adalah sebuah hotel bertaraf tiga bintang berkapasiti 150 unit bilik dan akan beroperasi setelah siap dalam tempoh dua tahun dari sekarang, jelasnya.

"Menariknya Avi Johor Bahru akan menampilkan konsep baharu dengan gabungan hotel dan hospital swasta yang dilihat dapat memberi lebih kemudahan untuk keluarga pesakit yang datang dan berurusan di hospital tersebut," katanya sambil berharap pelancong bakal menikmati kemudahan yang bakal disediakan ini dengan pengalaman hospitaliti memuaskan.

Tambahnya, perkembangan sektor pelancongan di Malaysia membolehkan penambahan bilangan pelancong dari luar negara ke Malaysia sekali gus meningkatkan jumlah pelancong untuk mendiami hotel sedia ada.

"Dengan adanya pengalaman Avillion yang telah beroperasi sekian lama, kami komited menyediakan produk-produk baharu untuk pelancong dalam dan luar negara, dari segi rekaan bilik, perkembangan pengurusan makanan, aktiviti di hotel dan pelbagai lagi inisiatif.

"Kebelakangan ini pelbagai konsep hotel diperkenalkan, namun Avillion percaya dengan konsep yang diketengahkan dapat memenuhi citarasa pelancong yang mementingkan keselesaan dengan jaminan standard kualiti perkhidmatan yang konsisten,” katanya.

Avillion Cameron Highlands pilihan pengunjung

Dalam pada itu, Yulina berkata, pembukaan Avillion Cameron Highlands adalah satu lagi langkah ke hadapan Avillion dalam membuka jalan menjadi syarikat perkhidmatan pengurusan hotel terkemuka di mana standard perkhidmatan dan hospitaliti menjadi standard terbaik industri hotel di Malaysia.

Jelasnya, pihaknya percaya Avillion mempunyai sesuatu yang berharga untuk ditawarkan dan sentiasa mencari peluang menguruskan lebih banyak hotel di negara ini.

"Perniagaan hotel adalah sesuatu yang sangat menuntut kepuasan pelanggan. Menyedari hakikat ini, kami komited untuk memperoleh kepercayaan dan memperoleh kesetiaan pelanggan dengan menawarkan pengalaman terbaik Avillion," katanya.