Industri sawit perlu buktikan komitmen atasi jerebu, pulih kepercayaan awam

INDUSTRI sawit perlu mengambil tanggungjawab lebih besar dalam menangani isu kebakaran hutan dan jerebu, termasuk memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan tindakan segera diambil sebelum risiko menjadi krisis lebih besar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, usaha memulihkan reputasi industri dan membina semula kepercayaan awam tidak lagi memadai dengan sekadar memenuhi piawaian serta standard kelestarian ditetapkan.
Menurutnya, syarikat dalam industri berkenaan perlu memastikan sistem pemantauan berfungsi, amaran risiko sampai kepada pihak yang tepat dan mereka mempunyai kuasa serta sumber untuk mengambil tindakan.
"Tanaman bukan punca masalah, sebaliknya amalan manusia. Sebab itu, kita perlu memastikan laporan tepat dan kesimpulan dibuat berdasarkan bukti.
"Namun, lebih penting, kita perlu membawa disiplin sama dalam menilai amalan sendiri," katanya ketika menyampaikan ucapan penaja utama pada Persidangan Meja Bulat RSPO 2026, di Jakarta.
Haris berkata, industri perlu mengamalkan tiga pendekatan utama iaitu mengenal pasti risiko (See It), mengambil tanggungjawab (Own It) dan menyelesaikan masalah (Sort It).
Menurutnya, pendekatan itu menuntut setiap syarikat meningkatkan pemantauan, memperjelas tanggungjawab serta bertindak segera apabila risiko dikenal pasti.
Beliau berkata, tanggungjawab syarikat juga tidak seharusnya terhenti pada sempadan tanah atau kawasan konsesi masing-masing, sebaliknya perlu meliputi kerjasama dengan komuniti, pihak berkuasa dan kawasan sekitarnya.
"Tiada organisasi yang boleh menjanjikan bahawa tiada perkara buruk akan berlaku. Namun, semua syarikat boleh beriltizam mengambil tindakan serius dalam pencegahan dan persediaan menghadapi kebakaran," katanya.
Mengulas usaha SD Guthrie, beliau berkata, syarikat itu menerusi kerangka kelestarian Beyond Zero menetapkan matlamat melangkaui usaha mengurangkan kesan negatif terhadap manusia dan alam sekitar kepada penciptaan impak positif.
Kerangka berkenaan mempunyai tiga tonggak iaitu Zero, Restore dan Transform, masing-masing memberi tumpuan kepada pengurangan kesan negatif, pemuliharaan serta pemulihan alam semula jadi dan biodiversiti, selain meningkatkan kehidupan serta mata pencarian masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, Haris berkata, SD Guthrie dengan kerjasama WWF-Malaysia awal tahun ini mengumumkan projek perintis kelapa sawit regeneratif selama lima tahun meliputi kira-kira 13,000 hektar di landskap Tawau-Kunak, Sabah.
"Penilaian asas projek itu membabitkan empat ladang yang diperakui RSPO dan sebuah kilang, dengan penelitian terhadap amalan pertanian, kawasan pemuliharaan serta langkah keselamatan pekerja," katanya.
Beliau berkata, perangkap kamera turut merekodkan kehadiran beberapa spesies hidupan liar termasuk tenggiling Sunda, harimau dahan Borneo dan beruang matahari, dengan sebahagiannya dikesan dalam kawasan ladang syarikat.
Menurutnya, penilaian itu mengenal pasti kawasan keutamaan yang berpotensi menghubungkan semula habitat bagi membolehkan hidupan liar bergerak merentasi landskap berkenaan.
"Melindungi kawasan hutan secara berasingan adalah penting, namun apabila kawasan itu dihubungkan, landskap berkenaan dapat menyediakan ruang lebih baik untuk hidupan liar berkembang.
"Hutan semula jadi kekal penting dan tidak boleh digantikan. Peluang kita adalah menguruskan kawasan pertanian produktif supaya dapat hidup bersama dan menyokong landskap lebih luas," katanya.
Beliau berkata, usaha itu turut merangkumi pengukuhan kesihatan tanah, mengekalkan produktiviti serta memberikan manfaat tambahan kepada pekerja dan komuniti sekitar.
Menurutnya, wakil SD Guthrie dan WWF-Malaysia turut berpeluang membentangkan dapatan serta perkembangan kerjasama pertanian regeneratif itu pada COP17 di Armenia minggu lalu.
Beliau menggesa semua organisasi industri sawit memperkukuh daya tahan landskap di bawah pengaruh masing-masing, selain membuktikan bagaimana tindakan mereka mampu memberikan perubahan positif kepada alam sekitar dan masyarakat.
"Nilai asas industri perlu dapat dilihat melalui hutan yang terus terpelihara, habitat yang dihubungkan semula, hak pekerja dihormati dan komuniti memperoleh peluang lebih baik.
"Kita sudah menghabiskan lebih dua dekad memperkukuh asas industri. Kini, kita perlu menggunakan keupayaan yang dibangunkan untuk menangani cabaran di hadapan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

