TF Value-Mart labur lebih RM20 juta perluas perniagaan borong makanan

SHAH ALAM – Lebih RM20 juta diperuntukkan bagi memperluas perniagaan borong makanan menerusi TF Borong kepada 20 cawangan menjelang akhir 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif TF Value-Mart, Ho Mun Hao berkata, peluasan itu dimulakan menerusi pembukaan dua cawangan pertama TF Borong di Batu Caves dan Taman Connaught pada 29 Oktober lalu.
Menurutnya, pemilihan lokasi baharu akan mengambil kira pangkalan pelanggan sedia ada di kedai TF Value-Mart bagi mengenal pasti kawasan yang mempunyai permintaan terhadap bekalan makanan secara borong.
Ujar beliau, maklumat mengenai corak pembelian dan keperluan pelanggan perniagaan turut membantu syarikat menentukan lokasi yang berpotensi untuk peluasan seterusnya.
“Pengusaha yang menggerakkan industri makanan, daripada penjaja hingga dapur hotel, memerlukan pembekal yang memahami keperluan perniagaan mereka.
“TF Borong menggabungkan rangkaian kedai, keupayaan pembelian dan kepakaran penyediaan daging sendiri bagi menyokong pengusaha berkenaan,” katanya dalam majlis pelancaran TF Borong di TF-Mart Batu Caves pada Khamis.

Pelaburan berkenaan merangkumi kerja peluasan dan naik taraf kedai, pengambilan pakar penyediaan daging serta penambahan lebih 2,000 produk makanan dan keperluan perniagaan.
TF Borong menawarkan lebih 2,000 produk merangkumi barangan asas dapur, bekalan segar dan keperluan operasi perniagaan, selain produk premium seperti udang kara import, ketam salji serta daging lembu Angus dan Wagyu, tertakluk kepada ketersediaan stok.
Setiap cawangan turut dilengkapi khidmat pakar penyediaan daging yang membolehkan pelanggan mendapatkan potongan mengikut spesifikasi perniagaan masing-masing termasuk saiz hidangan dan bahagian daging.
Dalam usaha memperkenalkan perkhidmatan itu kepada lebih ramai pelanggan, Mun Hao berkata, syarikat turut menggunakan platform media sosial seperti TikTok dan kandungan video untuk menyampaikan maklumat mengenai TF Borong.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan syarikat mendekati komuniti pengguna lebih muda, selain berhubung secara langsung dengan pemilik perniagaan bagi menerangkan kemudahan yang disediakan.
“Penyebaran maklumat dari mulut ke mulut turut membantu memperkenalkan perkhidmatan berkenaan apabila pelanggan berkongsi maklumat dengan orang lain,” katanya.
Selepas pembukaan di Batu Caves dan Taman Connaught, TF Borong akan diperluas secara berperingkat ke 20 cawangan TF Value-Mart sedia ada dengan pembukaan seterusnya disasarkan pada 1 Disember 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
