Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota capai objektif, santuni rakyat lebih dekat

Mohd Na'im menyampaikan sumbangan Musa'adah kepada salah satu penerima institusi agama pada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Al-Falah Madani di Masjid Jamek Beserah pada Ahad.
Mohd Na'im menyampaikan sumbangan Musa'adah kepada salah satu penerima institusi agama pada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Al-Falah Madani di Masjid Jamek Beserah pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN – Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota sempena sambutan Maal Hijrah 1447 yang berlangsung di Masjid Jamek Beserah, di sini, berjaya mencapai objektif dalam mengeratkan hubungan serta menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, karnival itu juga memperlihatkan usaha dan komitmen kerajaan dalam membantu golongan kurang bernasib baik serta asnaf.

Menurutnya, melalui penganjuran program tersebut, pemimpin di peringkat kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta agensi lain dapat menyantuni masyarakat dengan lebih dekat.

“Objektif karnival ini dapat dirasai sama ada daripada sudut penambahan ilmu pengetahuan, penyantunan golongan asnaf dan membawa kebaikan kepada penduduk di kawasan Indera Mahkota, khususnya di Beserah.

“Alhamdulillah, karnival ini juga membantu mendekatkan pemimpin dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Al-Falah Madani di Masjid Jamek Beserah pada Ahad.

Mohd Na'im menyantuni masyarakat selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Al-Falah Madani di Masjid Jamek Beserah pada Ahad.
Mohd Na'im menyantuni masyarakat selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Al-Falah Madani di Masjid Jamek Beserah pada Ahad.

Mohd Na'im berkata, sebanyak RM170,000 diperuntukkan bagi sumbangan bakul makanan dan bantuan Musa’adah kepada institusi agama pada majlis itu.

Artikel Berkaitan:

“Melalui sumbangan tersebut, tiga masjid dan lapan surau dalam kawasan Indera Mahkota bakal dinaik taraf dengan peruntukan RM70,000.

“Sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk menaik taraf tiga masjid termasuk Masjid Jamek Beserah, manakala RM40,000 untuk menaik taraf lapan surau,” katanya.

Jelas beliau lagi, RM30,000 disalurkan kepada Sekolah Agama Rakyat/Kelas Agama dan Fardu Ain (SAR/KAFA) serta institusi tahfiz, RM60,000 diperuntukkan bagi sumbangan bakul makanan kepada 300 golongan asnaf, dan RM10,000 untuk bantuan beg serta peralatan sekolah.

Mohd Na’im berkata, sumbangan tersebut tidak termasuk yang diagihkan dalam program Santuni Al-Falah Komuniti Nelayan Beserah dan Ziarah Musa’adah Asnaf Beserah pada Sabtu.

Beliau berkata, dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Sabtu, seramai 100 nelayan menerima wang tunai RM100 bersama bakul makanan.

“Turut diadakan penyerahan Rumah Yayasan Taqwa kepada keluarga lima beradik orang kurang upaya (OKU).

“Sebuah rumah baharu dibina untuk mereka bagi menggantikan rumah lama yang musnah dalam kebakaran beberapa tahun lalu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!