404,530 terima 'pencen' RM16 bilion
Caruman PERKESO jadi penyelamat susulan kematian pencari nafkah utama

SHAH ALAM – Pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi penyelamat kewangan kepada ribuan waris yang kehilangan pencari nafkah utama apabila jumlah penerima meningkat kepada 404,530 individu pada 2024 dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM16 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Berdasarkan statistik, golongan isteri dikenal pasti sebagai kumpulan paling ramai menerima bayaran tersebut iaitu 53.06 peratus pada 2015 sebelum menyusut kepada 40.82 peratus (2023) dan 39.72 peratus (2024).
Pola tersebut menunjukkan perubahan apabila golongan anak yang sebelum ini merupakan penerima kedua paling ramai untuk tempoh sama, telah meningkat pada 2024 mencecah 41.48 peratus mengatasi kumpulan isteri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, bantuan kewangan bulanan itu diberikan kepada waris seperti balu, duda, anak dan ibu bapa jika pencarum meninggal dunia sebelum usia 60 tahun akibat sebarang sebab.

Ujar beliau, jumlah bayaran ditentukan mengikut kadar dan bilangan caruman dari tarikh mula kerja hingga tarikh kematian pencarum.
“Kadar faedah yang dibayar adalah dalam julat 50 hingga 65 peratus daripada gaji bulanan purata anggapan iaitu daripada RM550 (pencen minimum) hingga RM3,867.50 (pencen maksimum).
“Pemergian pencarum, biasanya ketua keluarga atau penyumbang pendapatan utama boleh mencetuskan kejutan ekonomi terhadap keluarga sehingga mengundang risiko terjerumus ke kancah kemiskinan.
“Justeru, penyediaan faedah ini dapat memastikan kelangsungan kewangan bagi membantu waris menampung keperluan asas seperti makanan, sewa rumah, bayaran utiliti, pendidikan anak-anak dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau memberitahu, melalui sokongan fiskal kewangan, anak yatim mampu untuk meneruskan pembelajaran yang akhirnya mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan.
Sehubungan itu menurutnya, kewajipan mencarum bukan bebanan tambahan kewangan sebaliknya ia hak asasi pekerja demi memastikan mereka dan waris terus terbela, andai perkara tidak diingini berlaku.
Tak dituntut
Mohammed Azman mengakui memang wujud kes faedah pencen penakat tidak dituntut oleh waris yang layak.
“Bagi memastikan tiada yang tercicir dan terpinggir daripada mendapat hak mereka, PERKESO mewujudkan Program Sinergi Sosial yang berfungsi sebagai platform keselamatan sosial rentas agensi pertama di Malaysia.
“Platform ini disertai lebih 350 agensi yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta dan pemimpin masyarakat,” ujarnya.
Kata beliau lagi, terdapat segelintir waris beranggapan pencen penakat tidak boleh diperoleh sekiranya mereka telah mendapat bantuan atau faedah daripada institusi lain.
Menurutnya, tanggapan itu ternyata tidak benar kerana anak yang layak dari segi usia dan pasangan sah dengan pencarum adalah dijamin menerima faedah tersebut mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Jelas Mohammed Azman, tidak wujud isu pertindihan faedah sehingga menafikan kelayakan penerima atau waris.
“Selain itu, isu kekeliruan timbul apabila kes kematian membabitkan pencarum yang beralih daripada sektor swasta kerana mendapat pekerjaan tetap di sektor awam.
“Untuk rekod, penjawat awam berstatus tetap tidak mencarum dengan PERKESO, sebaliknya caruman hanya wajib terhadap semua penjawat di kementerian dan agensi kerajaan yang berstatus kontrak dan sementara.
“Bagaimanapun, waris bekas pekerja swasta yang mendapat pekerjaan tetap di sektor awam masih layak mendapat pencen penakat, tertakluk kepada syarat dan pengiraan mengikut Jadual Ke-8, Akta 4,” katanya lagi.
Ujar beliau, jalan terbaik ialah waris yang mengetahui rekod pekerjaan keluarga diminta tampil di mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara untuk semakan kelayakan.
Tambahnya, cabaran menguruskan pencen penakat turut merangkumi soal dokumentasi seperti perkahwinan yang tidak didaftarkan, rekod pendaftaran anak tidak wujud dan isu ketiadaan akaun bank bagi pembayaran pencen.
“Namun, PERKESO sentiasa berjiwa prihatin bagi membantu waris dalam menyelesaikan isu yang dihadapi agar hak mereka dapat diberikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

