Industri hotel berdepan cabaran, harga bilik dijangka naik mulai Julai

Industri perhotelan dijangka berdepan situasi yang lebih mencabar berikutan pelaksanaan tarif elektrik baharu serta peluasan skop kadar SST yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini. Gambar kecil: Haziz Foto 123RF
Industri perhotelan dijangka berdepan situasi yang lebih mencabar berikutan pelaksanaan tarif elektrik baharu serta peluasan skop kadar SST yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini. Gambar kecil: Haziz Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN – Industri perhotelan dijangka berdepan situasi yang lebih mencabar berikutan pelaksanaan tarif elektrik baharu serta peluasan skop kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Negeri Sembilan (MAH), Haziz Hassan berkata, keadaan tersebut akan memberi kesan berantai, sekali gus meningkatkan kos operasi hotel.

“Kita baru sahaja melaksanakan gaji minimum RM1,700 dan bermula Julai ini pula, tarif elektrik baharu serta cukai baharu akan dilaksanakan.

“Semua ini dimulakan dalam tempoh yang singkat dan saya akui situasi ini agak membimbangkan, terutamanya apabila memikirkan soal tarif elektrik baharu ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan harga perkhidmatan bilik hotel akan dinaikkan antara 10 hingga 15 peratus selepas ini.

Beliau bagaimanapun mengakui kenaikan tersebut akan menjejaskan kehadiran pelanggan, namun ia terpaksa dilakukan.

“Sekarang ini pun perniagaan kita tidak seperti dahulu kerana orang ramai cuba mengurangkan perbelanjaan, malah program kerajaan di hotel-hotel juga semakin berkurangan.

“Jadi, perniagaan kita memang terjejas dan apabila cukai baharu ini diperkenalkan, lagilah orang akan sukar untuk menginap di hotel,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kebanyakan hotel kini mengurangkan kos operasi dengan mengehadkan pengambilan staf baharu, membekukan kerja lebih masa serta mengurangkan penggunaan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!