Tebing sungai makin terhakis

Penduduk Kampung Seberang Ketil di seberang sungai turut bimbang dengan operasi tersebut.
Penduduk Kampung Seberang Ketil di seberang sungai turut bimbang dengan operasi tersebut.
A
A
A

KUPANG - Penduduk berhampiran kawasan operasi kuari pasir di sini menggesa kerajaan baharu campur tangan bagi menyelesaikan masalah tebing sungai terhakis dan semakin menghampiri kediaman mereka.

Penduduk, Liyana Ismail, 36, dari Kampung Belakang Pejabat Pos berkata, runtuhan tebing sungai semakin membimbangkan dan masih tiada langkah diambil mana-mana pihak.

Menurutnya, penduduk berharap masalah ini diberi perhatian sewajarnya pihak kerajaan kerana ia melibatkan nyawa penduduk.

"Tebing runtuh hanya berjarak beberapa meter dari rumah saya. Langsung tiada tindakan daripada mana-mana pihak

"Tak ada apa perbincangan atau apa-apa. Cuma depa buat jalan masuk sebelum mulakan operasi ini," katanya.

Liyana berkata, selain rumahnya, beberapa lagi kediaman berhampiran operasi kuari dibina atas tanah rizab sungai.

Begitupun katanya, mereka tinggal di situ dengan pas sementara daripada kerajaan negeri.

"Orang tua dulu dah tinggal lama di kawasan ini, di kawasan kuari ini pun rumah di sini sudah berusia 40 tahun. Jika ikutkan, tidak sesuailah buat kuari di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah menurutnya, limpahan air kuari telah menghasilkan sebuah kolam buangan berhampiran kawasan penduduk.

Tinjauan Sinar Harian bersama Pertubuhan Kebajikan Penduduk daerah Baling (Perkeba) mendapati, takungan air kolam itu mempunyai kedalaman hampir satu meter dan mengundang risiko keselamatan kepada penduduk terutamanya kanak-kanak.

Tiada pagar dibina atau papan amaran dipasang dan kawasan operasi itu boleh dimasuki soleh sesiapa sahaja.

Azrul Hashim, 32, dari Kampung Seberang Ketil berkata, penduduk tidak senang duduk dengan operasi itu kerana ia meruntuhkan tebing sungai.

"Semakin lama tebing semakin runtuh dan paling kita risau ketika musim hujan," katanya.

Penduduk, Che Su Man, 66, dari Kampung Seberang Ketil berkata, mendapan tanah menyebabkan bahagian dapur dan bilik air rumahnya retak.

"Habis pokok yang tok tanam hanyut dibawa arus sungai," katanya.

Katanya, kerajaan baharu diharap dapat memberikan perhatian terhadap operasi yang dijalankan sejak sebelum PRU14 lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Perkeba, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, pihak berwajib terdiri daripada kerajaan negeri termasuk Ahli Parlimen dituntut segera mencari alternatif membantu penduduk.

"Kita harap pihak bertanggungjawab celik mata, benda ini bukan sehari dua berlaku. Perkeba amat simpati terhadap masalah dihadapi orang kampung.

"Pihak yang berjanji untuk selesaikan masalah rakyat sebelum PRU, inilah masanya untuk kotakan janji bahawa mereka boleh berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Sinar Harian pada 13 Oktober dan 8 Disember tahun lalu melaporkan penduduk dari 10 kampung di sekitar kawasan kuari termasuk Masjid Ehsaniah Kupang serta dua jambatan berdepan risiko hakisan pasir.