Tiada keperluan tukar Menteri Besar NS

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEJAK akhir bulan lalu, kita menyaksikan sebuah pengkhianatan dahsyat berlaku yang akhirnya menyebabkan keruntuhan kerajaan Pusat secara 'rompakan pintu belakang' dan sangat tidak demokratik.

Pengkhianatan ini turut berlaku di beberapa buah negeri hingga berlakunya perubahan kerajaan di peringkat negeri yang secara jelas menimbulkan kemarahan rakyat.

Alhamdulillah, kita memanjat kesyukuran kerana kedudukan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan adalah teguh dan stabil sebagai sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat dan kini sedang gigih menjalankan pentadbiran negeri mengikut acuan terbaik dalam menyantuni rakyat.

Bagaimanapun, kestabilan Kerajaan PH Negeri Sembilan cuba diganggu-gugat beberapa rencana layang yang bersifat propaganda dan tersebar di pelbagai platform media termasuklah grup WhatsApp.

Permainan saraf ini adalah bertujuan menggoyahkan keadaan politik di Negeri Sembilan supaya lebih mudah pihak 'broker' menyusup untuk membeli Adun.

Setelah cubaan menimbulkan penasaran dan menggugat kestabilan ini gagal dengan pelbagai cara, maka pihak yang semakin terdesak tergamak menggunakan saluran Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) melalui satu kenyataan yang didapati tanpa konsensus dari AMK Pusat secara keseluruhannya.

Kenyataan tersebut yang mendesak Aminuddin Harun meletakkan jawatan Menteri Besar hanya kerana ingin memberi laluan kepada kumpulan pengkhianat meluaskan jajahan hingga ke Negeri Sembilan adalah keterlaluan dan tidak masuk akal sama sekali.

Penerimaan rakyat Negeri Sembilan terhadap Aminuddin selaku Menteri Besar amatlah menggalakkan dan beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat yang cukup disenangi oleh seluruh warga Nogori.

Artikel Berkaitan:

Selama 22 bulan ini, pentadbiran Negeri Sembilan berjalan dengan cukup cemerlang dari sudut pemberian insentif dan pelbagai penyediaan inisiatif yang serba kondusif serta mengangkat martabat melayu dan agama Islam tanpa meminggirkan golongan lain.

Kenyataan Naib Ketua AMK berdarah 'kartel' itu sangat dangkal, tidak matang dan juga tidak langsung mewakili mana-mana kerangka parti termasuk AMK sendiri. Kenyataan tersebut hanya diterbitkan mengikut nafsu serakah gila kuasa semata-mata demi mengganggu-gugat negeri yang aman dan insya-ALLAH akan kekal damai ini.

Kepada semua sahabat khususnya penduduk Negeri Sembilan, adalah dinasihatkan agar tidak keliru dan dikelirukan oleh mana-mana kenyataan yang cuba menggambarkan ketidaktentuan politik di negeri ini.

Insya-ALLAH Kerajaan PH Negeri Sembilan akan kekal teguh dalam melaksanakan iltizam memacu kelestarian ekonomi rakyat dan seterusnya menggamit kepercayaan untuk kekal mentadbir Negeri Sembilan hingga pasca pilihan raya yang akan datang.

* Edy Noor Reduan ialah aktivis blogger