Rafizi persoal isu rombak RMK13 saat akhir

SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan isu 'merombak semula draf Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)' yang hanya timbul di saat akhir sedangkan tidak pernah dibangkitkan sepanjang beliau dan Kementerian Ekonomi membentangkan intipati dasar itu.
Rafizi berkata, pihaknya khuatir sekiranya kerajaan bersikap reaktif kerana ada beberapa ciapan balas kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai RMK13 beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut Rafizi, terdapat netizen membincangkan mengenai RMK13 dan membalas ulasan Fahmi yang dilihat cuba memadamkan terus penglibatannya dalam penyediaan RMK13.
"Kenyataan untuk 'merombak semula dan mengolah' RMK13 sudah tentu mengundang kebimbangan (di kalangan penjawat awam, penganalisis pasaran yang memantau dasar negara dan rakyat keseluruhannya).
"Adakah ini bermakna rombakan semula ini akan dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada masa untuk merujuk semula kepada Inter Agency Planning Group (IAPG), Technical Working Group TWG dan pakar-pakar?
"Kenapa isu 'merombak semula draf RMK13' ini timbul di saat akhir. RMK13 adalah dokumen penting untuk negara yang dibangunkan oleh ribuan rakyat dari segenap lapisan masyarakat," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengeluarkan kenyataan bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengetuai usaha rombakan tersebut.
Tambah Rafizi, tindakan mengheret RMK13 menjadi polemik politik akan melunturkan keyakinan rakyat kepada dokumen akhir dasar itu.
"Jika ini berlaku, ia satu ketidakadilan besar kepada mereka yang bertungkus lumus bekerja berbelas jam sehari sejak setahun lepas.
"RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan biasa, tetapi dasar lima tahun negara yang menjadi rujukan utama merentas pentadbiran kerajaan, kecuali dipinda melalui Parlimen.
“Penyediaan RMK13 dibuat melalui proses ‘bottom-up’ dan ‘top-down’ yang melibatkan input pelbagai pihak," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

