Selepas 10 hari bunyi letupan, gegaran di Ipoh kekal misteri

Saarani memberitahu siasatan masih diteruskan oleh pihak polis kerana melibatkan aspek keselamatan negeri.
Saarani memberitahu siasatan masih diteruskan oleh pihak polis kerana melibatkan aspek keselamatan negeri.
A
A
A

IPOH - Tiada sebarang jawapan spesifik ditemui berhubung punca bunyi letupan dan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar daerah ini, minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, siasatan masih diteruskan oleh pihak polis kerana melibatkan aspek keselamatan negeri.

"Siasatan diteruskan tetapi belum temui secara spesifik, jadi kita tidak dapat beri komen lagi. Hasil siasatan yang diperoleh polis nanti akan menjadi laporan kepada negeri.

"Kejadian ini sudah beberapa kali di Perak dan Selangor dan ia masih tiada jawapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malaysia Culinary World Cup 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan terus menjalankan kajian dari punca geologi sekitar Ipoh dan setakat ini belum dapat mengesan puncanya.

"Mengikut kajian bunyi letupan misteri telah dilaporkan di seluruh dunia sekian lama tanpa penjelasan yang pasti.

"Bunyi ini digambarkan dari arah langit dengan letupan yang sederhana hingga kuat, dan kadangkala menggegarkan tingkap dan dinding bangunan.

"Selain Ipoh, letupan misteri juga pernah berlaku di Jepun, Amerika Syarikat, Bangladesh, Belgium, Australia dan United Kingdom, Kanada, Colombia, Finland, Vanuatu, Australia, Italy, Ireland dan Indonesia," katanya.

Tambah kenyataan itu, letupan misteri itu pernah berlaku pada tahun 2012, 2018, 2024 dan terbaru pada 18 Jun lalu di Ipoh.

Artikel Berkaitan:

"Telah dipastikan bukan akibat letupan aktiviti kuari, ujian bom atau ledakan sonik dari kapal terbang jet," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!