'Geng Yoe Gomen' aktif kes pecah pejabat kerajaan tumpas

MELAKA - Polis berjaya menumpaskan 'Geng Yoe Gomen' yang dipercayai terlibat dalam lapan kes pecah pejabat di daerah Melaka Tengah dengan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Kling di sini 21 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua lelaki berusia 35 hingga 40 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan sejak April termasuk di luar Melaka.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan menyasarkan pejabat sekolah dan pejabat kerajaan untuk mencuri wang tunai yang terdapat di premis berkenaan.
"Modus operandi ‘Geng Yoe Gomen’ ialah memecah masuk premis terlibat pada awal pagi dengan cara mengumpil pintu pejabat menggunakan pemutar skru.
"Berdasarkan pengakuan suspek, 'Geng Yoe Gomen' terlibat memecah masuk enam pejabat sekolah manakala dua lagi pejabat kerajaan," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Christopher berkata, 'Geng Yoe Gomen' dipercayai turut terlibat dalam dua kes pecah pejabat di Alor Gajah dan satu di Jasin selain masing-masing satu kes di Kelantan, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, siasatan mendapati hasil wang yang dicuri berjumlah RM9,200 itu digunakan untuk membayar pendahuluan membeli motosikal bagi melakukan jenayah terbabit.
"Semakan ke atas ketua geng terbabit yang dikenali sebagai Yoe mendapati suspek mempunyai 27 rekod lampau dengan 24 daripadanya melibatkan kesalahan pecah masuk dan curi,” katanya
Beliau berkata, dua lagi ahli kumpulan itu yang dikenali sebagai Fadil dan abangnya, Awe turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan berkenaan dan saringan urin mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamin.
Christopher berkata, kesemua mereka yang merupakan penganggur ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Christopher berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun yang dipercayai dibawa ke sebuah hospital swasta di sini dalam keadaan tidak sedarkan diri minggu lepas.
Beliau berkata, ini termasuk menunggu keputusan analisis makmal setelah proses bedah siasat selesai dijalankan Jabatan Forensik Hospital Melaka.
"Memang ada kesan-kesan lebam lama pada tubuh mangsa selain kesan kaki patah yang dianggarkan lebih sebulan berlaku tetapi ia bukan punca utama kematian mangsa," katanya dan polis turut menyiasat aspek pengabaian terhadap kanak-kanak itu.
Pada Isnin, media melaporkan sepasang suami isteri yang juga ibu kandung dan bapa tiri mangsa ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 Jun bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini.
Christopher dalam laporan itu memaklumkan mangsa dihantar oleh bapa tirinya dalam keadaan tidak sedarkan diri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
