Penunggang motosikal maut digilis lori

JEMPOL - Seorang lelaki maut digilis lori selepas motosikal ditunggangnya terlanggar bahagian belakang kenderaan tersebut di Jalan Perkampungan Felda Serting Hilir 6, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari itu melibatkan sebuah lori jenis Ford Trader serta sebuah motosikal jenis WMoto.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun bergerak dari arah Serting Hilir 4 menuju ke Jalan Utama Serting Hilir–Tembangau.
“Motosikal yang ditunggang mangsa berusia 39 tahun juga datang dari arah yang sama. Setibanya di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Jempol bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
"Sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," ujar beliau.
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Orang awam yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

