Pelajar kolej vokasional maut digilis lori

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
A
A
A

KUALA LANGAT – Seorang pelajar lelaki maut digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Klang–Banting–Port Dickson di sini pada Rabu.

Mangsa yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Banting dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kanchong dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Mohd Radzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa berumur 17 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z arah Telok Datok menghala ke Banting.

"Semasa kejadian, mangsa menunggang di tengah lorong antara lorong kanan dan kiri sebelum hilang kawalan lalu terjatuh ke lorong kanan.

"Dalam masa yang sama, sebuah lori jenis Nissan berwarna merah yang sedang bergerak lurus di lorong kanan tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan mangsa dan motosikalnya terperosok di bawah lori sebelum digilis tayar belakang sebelah kanan kenderaan terbabit.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan.

"Pemandu lori berusia lingkungan 50-an itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan berkenaan tidak membawa muatan ketika kejadian," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa memiliki lesen memandu yang sah dan memakai topi keledar semasa kemalangan berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Langat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!