Penunggang motosikal maut kemalangan di LPT

KUANTAN - Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 205.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala timur di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi, kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha Y15 dan kereta jenis Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta terbabit dari arah Kuala Lumpur menghala ke arah Kuantan.
"Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, ketika motosikal sedang bergerak lurus di lorong kanan tiba-tiba dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas.
"Kereta dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran dengan motosikal itu di lorong kanan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, mangsa yang meninggal di tempat kejadian tidak memiliki lesen memandu manakala pemandu kereta iaitu wanita berusia 32 tahun cedera di bahagian mulut.
"Kelima-lima penumpang iaitu suami dan anak-anak mangsa termasuk bayi perempuan berusia tiga bulan tidak mengalami kecederaan.
"Penunggang motosikal terbabit memiliki 16 rekod pelbagai saman belum dijelaskan," jelasnya.
Katanya, pemandu kereta itu juga memiliki dua rekod saman belum dijelaskan.
"Kenderaan akan dibawa untuk menjalani pemeriksaan Puspakom dan sampel darah serta urin mangsa akan diambil untuk ujian toksikologi selain mengesan saksi kejadian," tambahnya.
Ujarnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

