Lelaki ugut pengamal media didenda RM3,000

Muhammad Firdaus didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap pengamal media di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada Rabu.
Muhammad Firdaus didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap pengamal media di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pengamal media di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, Rabu lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Abdullah, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga seorang penganggur dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Firdaus didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang jurukamera lelaki berusia 61 tahun dengan niat untuk menakutkan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 9 pagi di perkarangan mahkamah ketika tertuduh sedang diiringi polis bagi menghadapi pertuduhan kes berasingan melibatkan khianat dan memandu secara berbahaya.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam hujahnya, Nevina memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan pengadu hanya menjalankan tugas sebagai jurukamera dan ugutan yang dilemparkan bersifat mengancam keselamatan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon agar hukuman diringankan atas alasan tidak bekerja dan menanggung isteri serta tujuh orang anak.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara selama empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa pengamal media dari stesen TV3, akhbar Berita Harian dan Oriental Daily telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan selepas diugut ketika membuat liputan berkaitan kes tertuduh di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan pada pagi Khamis di kawasan Bandar Baru Uda.

“Rakaman video menunjukkan suspek yang memakai pelitup muka semasa berjalan ke bilik perbicaraan telah mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan.

“Dia berkata, ‘Kenapa rakam dekat bawah, sudah rakam, nanti aku keluar aku cepuk kau... jangan buat aku marah, nanti aku sepak kau’,” katanya.

Raub menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk intimidasi atau ugutan terhadap wakil media yang sedang menjalankan tugas.

“Komitmen ini penting bagi memastikan keselamatan dan kebebasan media terus dilindungi, selaras dengan peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!