Broker dituduh miliki dua pistol, 129 peluru

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Ogos depan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Ogos depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang broker mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan memiliki dua pistol dan 129 peluru tanpa lesen, empat bulan lalu.

Tan Hou, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa ada dalam milikannya, dua pistol model SIG Sauer P365 dan Glock buatan Austria, di sebuah rumah di Jalan Jalil Perkasa, Bukit Jalil di sini pada jam 9.15 malam, 21 Februari lalu.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa ada dalam milikannya 79 peluru jenis 9mm, 50 peluru jenis Winchester 9mm Luger 45 Grain tanpa lesen senjata, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon mahkamah tidak memberikan ikat jamin kepada tertuduh kerana kesalahan itu sangat serius selain ia termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

Menurutnya, tertuduh berisiko untuk melarikan diri kerana dia telah ditangkap semula dalam ‘Ops Wanted’.

“Memiliki senjata api merupakan suatu yang di luar daripada kebiasaan bagi orang awam di sini, kecuali golongan yang dibenarkan atau diberi lesen.

Artikel Berkaitan:

“Susulan itu, pendakwaan bimbang dengan keselamatan saksi-saksi dalam kes ini,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Gan Hsien Yang merayu anak guamnya diberi ikat jamin kerana tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

“Ibunya mempunyai penyakit barah perut selain menangung anak berusia dua hingga empat tahun.

“Jika dia tidak diberi jaminan, ia akan menyukarkan urusan untuk menjaga keluarga,” katanya dengan menambah, tertuduh bersedia untuk menerima sebarang syarat tambahan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Ogos depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!