TUDM kaji konflik global, semak strategi pertahanan

SHAH ALAM – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengkaji konflik ketenteraan melibatkan beberapa negara seperti Rusia, Ukraine, India, Pakistan dan negara di Timur Tengah sebagai panduan untuk menilai serta menyesuaikan strategi jangka panjang pasukan itu.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan perancangan yang digariskan sebelum ini terus selari dengan realiti semasa.
“Apa yang TUDM sedang lakukan sekarang ialah menilai apa yang boleh dipelajari daripada konflik yang sedang berlaku dan kita akan semak semula sama ada rancangan kita bergerak seiring dengan situasi di sekeliling kita.
“Jika perlu dilakukan pelarasan, kita akan laksanakan kerana kita mesti kekal relevan dan berpandukan kepada realiti semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Panglima TUDM daripada Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan di Pangkalan Udara TUDM Subang pada Khamis.
Dalam pada itu, Norazlan memberi jaminan semua inisiatif TUDM di bawah pelan hala tuju jangka panjang CAP55 akan diteruskan di bawah kepimpinannya.
Beliau berkata, pelan itu penting bagi memastikan TUDM terus menjadi kuasa udara yang kredibel dan dominan dengan keupayaan menyeluruh.
“Fokus utama pelan berkenaan meliputi pembangunan keupayaan, pemodenan serta pembangunan modal insan.
“Kita sudah lihat pelaksanaannya menerusi pemerolehan aset-aset baharu; ia bukan hanya penggantian kepada platform lama, sebaliknya peningkatan keupayaan yang sebenar,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan keupayaan tidak hanya melibatkan pembelian aset semata-mata, tetapi turut memerlukan penekanan terhadap aspek latihan dan kesiapsiagaan operasi.
“Tumpuan kita adalah membina keupayaan melalui latihan dan kesediaan operasi yang tinggi dan dari segi sumber manusia, kita perlukan individu yang tepat, berkemahiran dan terlatih.
“Keutamaan ini penting supaya aset-aset yang kita peroleh dapat digunakan secara optimum,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

