Muhamad Norazlan dilantik Panglima Tentera Udara ke-21

SUBANG - [DIKEMAS KINI] Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dilantik sebagai Panglima Tentera Udara menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang menamatkan perkhidmatan pada Khamis.
Pelantikan Muhamad Norazlan sebagai PTU ke-21 disempurnakan dalam Upacara Serah Terima Tugas PTU diadakan di Pangkalan Udara Subang.
Uapacara penuh istiadat ketenteraan itu disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.
Turut diadakan, Upacara Kenaikan Pangkat Muhamad Norazlan sebagai Jeneral dan Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara Ke-20.
Muhamad Norazlan, 58, yang merupakan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi pada 1985 hingga 1987.
Beliau kemudiannya memulakan latihan penerbangan di bawah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1988 di Alor Setar.
Muhamad Norazlan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Aermacchi MB3394, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N/UB dan Sukhoi 30MKM sepanjang kerjayanya.
Sebelum ini beliau turut menjawat pelbagai jawatan penting antaranya Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf P&P, Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara dan Panglima Operasi Udara sebelum menjawat jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara sejak 28 Jun 2022.
Sementara itu, Mohd Asghar Khan berkhidmat dalam TUDM selama lebih 42 tahun sejak menyertai pasukan itu pada 18 Julai 1983 sebagai Pegawai Kadet di MTD.
Beliau memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985 dan telah menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E, MIG-29N dan Sukhol 30MKM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
