Rumah Ngaji kongsi pengalaman semarak al-Quran

LUMUT - Usaha memartabatkan al-Quran di peringkat komuniti terus diperkasa apabila Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh menerima kunjungan silaturahim daripada Rumah Ngaji Sri Ampang, Ipoh pada Rabu.
Kunjungan yang diketuai Penggerak Rumah Ngaji Sri Ampang, Nor Hani Bibi itu bertujuan mempererat ukhuwah serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam menggerakkan aktiviti berkaitan al-Quran.
Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, inisiatif berkenaan juga memberi peluang kepada para penggerak untuk menimba ilmu serta meninjau pendekatan berkesan yang boleh dijadikan inspirasi di kawasan masing-masing.
"Pertemuan ini amat bermakna dalam semangat persaudaraan untuk saling bantu-membantu demi ummah.
“Perkongsian ilmu bersama ini penting bagi menyemarakkan lagi gerakan al-Quran di negeri Perak dan memastikan setiap komuniti dapat menikmati manfaatnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Maziah berkata, dalam kunjungan tersebut turut diisi dengan sesi tadabbur Surah At-Taubah ayat 32 dan 33 yang disampaikan oleh Ustazah Rafidah Mohammad.

Katanya, ia turut disusuli perkongsian khas berkaitan peranan program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) dalam usaha pencegahan denggi melalui komunikasi dan perubahan tingkah laku.
"Saya turut berpeluang berkongsi peranan COMBI yang digerakkan bersama Rumah Ngaji dalam mendidik masyarakat menjaga kebersihan persekitaran.
"Program yang dihadiri kira-kira 40 orang itu turut melibatkan ahli Rumah Ngaji daripada kedua-dua komuniti serta wakil penduduk setempat yang hadir mengikuti ceramah kesedaran komuniti," katanya.
Mengulas lanjut, Maziah berkata, pihaknya amat terbuka untuk mengadakan kunjungan balas ke Rumah Ngaji Sri Ampang sebagai usaha memperkukuh jaringan dakwah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

