Azizulhasni kongsi pengalaman bangunkan atlet Terengganu

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal berkongsi pengalaman dengan negeri kelahirannya, Terengganu untuk membangunkan sukan itu.
Beliau berkata, langkah tersebut bagi membolehkan atlet negeri itu bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa.
Perkembangan tersebut dikongsi pelumba berusia 37 itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim pada Isnin.
"Banyak perkara yang dibincangkan termasuk perancangan masa hadapan kerajaan negeri.
"Mereka berhasrat untuk menggunakan pengalaman saya bagi membantu atlet-atlet Terengganu agar mereka boleh pergi jauh ke peringkat tertinggi.
"Saya juga kagum melihat bagaimana kerajaan negeri sangat komited meningkatkan pembangunan sukan untuk melahirkan lebih ramai bakal juara suatu masa nanti," katanya.
Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman pada bulan lalu menunggu masa sesuai untuk menentukan hala tuju kariernya selepas ini.
Juara keirin dunia itu pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang menjadi sandaran pingat emas dibatalkan penyertaan dalam acara tersebut selepas mendahului pacer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!